• Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
1 / 1
PERMATANG PAUH - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh menunjukkan simptom positif kepada BN, kata Pengarah Pilihan Raya Jentera BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Simptom positif ini memberi sinar baharu kepada perjuangan UMNO di Permatang Pauh. Tahniah dan syabas kepada pengundi yang sebelum ini berstatus hitam, kini telah memberi sokongan kepada BN," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Operasi BN di sini, malam ini.

Beliau berkata, walaupun tewas PRK itu namun, ia menampakkan perubahan dan peningkatan sokongan yang besar kepada BN.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,841 undi apabila memperoleh 30,316 undi untuk mengalahkan calon BN Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi.

Dua lagi calon iaitu Salleh Isahak (Bebas) mendapat 367 undi dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia memperoleh 101 undi. Undi rosak ialah 843 undi.

Ahmad Zahid berkata BN telah mencatatkan kemenangan moral di Permatang Pauh dan mahu jentera parti terus bersemangat dan bermotivasi dengan angin perubahan di kawasan Parlimen itu.

"Isu-isu nasional yang di manipulasi oleh pembangkang harus ditangani segera melalui penjelasan agar ia tidak menjadi barah dalam minda masyarakat.

"Kerajaan BN sedar Permatang Pauh amat dahagakan pembangunan dan ingin melihat apakah yang mampu dilaksanakan Pakatan Rakyat kepada masyarakat di sini dalam tempoh tiga tahun ini," katanya.

Menurutnya BN menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana kuasa rakyat adalah kuasa penentu mutlak.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri terkilan dengan beberapa insiden tidak diingini sepanjang pilihan raya kecil itu berlangsung.

Walaupun pasukan keselamatan mengadakan kawalan rapi, tetapi masih ada segelintir pihak yang menolak peraturan, katanya.

"Jika inilah bentuk demokrasi, pada hemat saya, ada harga mahal yang perlu dibayar jika pemimpin pihak yang merestui perbuatan mereka ini tidak menunjukkan demokrasi," katanya. - Bernama