• Isu 1MDBGrafik Sinar Online
 1 / 1 
SHAH ALAM - Pertubuhan National Oversight and Whistleblowers (Now) mendakwa tindakan individu yang memberi maklumat mengenai pendedahan dokumen berkaitan pembelian tanah 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) adalah sesuatu yang baik.

Pengarahnya, Akmal Nasir berkata, tindakan berani tersebut telah membolehkan orang awam terutamanya pencarum simpanan Tabung Haji mengetahui mengenai pembelian tersebut yang ternyata diselubungi pelbagai isu dan persoalan.

Namun, katanya pengumuman oleh Ketua Polis Negara bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengesan identiti pemberi maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) adalah mendukacitakan sedangkan keutamaan siasatan adalah sewajar mengenai urus niaga itu sendiri kerana ianya melibatkan dana pencarum simpanan Tabung Haji.

“Tindakan Ketua Polis Negara telah menimbulkan beberapa persoalan antaranya adakah tindakan untuk menyiasat identiti pemberi maklumat yang membocorkan dokumen urusan jual beli tanah 1MDB-LTH di bawah OSA adalah usaha untuk menyekat lebih banyak pendedahan maklumat berkaitan urus niaga berkaitan atau maklumat mengenai 1MDB?

“Selain itu,  apakah siasatan ini membuktikan sekali lagi bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau Whistleblowers Protection Act (WPA) sebenarnya tidak efektif? Ini amat jelas apabila pemberi maklumat terdedah kepada tekanan akta-akta OSA atau Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA). Jelaslah bahawa pemberi maklumat di Malaysia berhadapan dengan hukuman sedangkan pendedahan mereka menyelamatkan dan memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, penjualan tanah tersebut oleh 1MDB yang  sepatutnya dibangunkan tetapi dijual pada keuntungan yang berpuluh kali ganda kepada LTH menimbulkan pelbagai keraguan.

“Mengapakah hanya LTH yang berminat atau diberi pilihan membeli tanah tersebut? Siapakah yang terlibat dalam proses urus niaga ini?

“Oleh itu, pihak berkuasa seharusnya menjalankan siasatan bagi memastikan tiada unsur pecah amanah atau salah guna kedudukan dalam urus niaga ini, bukannya mencari jalan untuk menghukum pemberi maklumat. Rakyat terutamanya pencarum simpanan LTH berhak mengetahui lebih lanjut mengenai urus niaga ini dan urus-urus niaga lain yang melibatkan wang mereka dengan 1MDB,” jelasnya.