1 / 1 
TAWAU - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kebelakangan ini berbelit-belit.

“..sekejap kata 1MDB hilang RM42 bilion selepas itu kata pula tak hilang tetapi 1MDB berhutang RM42 bilion,” katanya katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 40,000 orang yang hadir pada program Solidariti Rakyat Sabah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Padang Perbandaran Tawau di sini, hari ini.

Najib menegaskan, kerajaan ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu 1MDB jika diberi tempoh.

Perdana Menteri menjelaskan, ketika Tabung Haji (TH) membeli sekeping tanah milik 1MDB ia adalah pelaburan dan bukannya 'bailout' 1MDB kerana TH boleh memperoleh keuntungan sehingga lebih RM170 juta melalui pembelian itu namun disebabkan perkara itu dijadikan isu, beliau menasihatkan TH menjual tanah berkenaan.

Najib berkata, melalui penjualan semula aset berkenaan, TH boleh untung sehingga RM5 hingga RM6 juta namun pada masa sama merugikan pendeposit TH sendiri kerana jika aset itu tetap milik TH, pendeposit boleh untung sehingga RM170 juta.

"Tetapi kerana isu sudah dipusing sebagai isu yang panas, orang kata 'you are shooting yourself at your foot', tembak kaki sendiri. Inilah yang saya kata tidak rasional.

"Kita buat sesuatu untuk apa? Untuk kebaikan rakyat. Bagilah peluang. Setiap perkara boleh kita selesaikan. Tetapi beri peluang kepada pemimpin untuk menyelesaikan perkara itu," katanya.

Perdana Menteri berkata selepas menyaksikan sokongan padu diberikan rakyat kepadanya seperti yang dapat dilihat pada perhimpunan hari ini, beliau berazam untuk meneruskan perjuangan malah semangatnya kian berkobar. - Bernama