• Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
KUALA LUMPUR - PR berpeluang sertai Lembaga Tabung Haji jika pengurusan tertinggi syarikat milik kerajaan (GLC) itu dirombak dengan segera.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, apabila penyusunan semula jawatan itu dibuat, sesiapa sahaja yang berkelayakan boleh menyertai entiti kerajaan itu dengan melalui proses saringan yang ketat.

"Siapa pun (boleh sertai TH) termasuk pemimpin pembangkang, janji menepati kelayakan yang ditetapkan badan bebas Parlimen itu.

"Bukan maksud saya begitu (pembangkang mahu sertai TH), biar rombakan dibuat secara profesional, ahli lembaga pengarah dan pegawai eksekutif mesti ditemuduga oleh satu badan bebas yang dibentuk oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen," katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tabung Haji mengesahkan pembelian tanah Fasa 1 Tun Razak Exchange daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan harga RM188.5 juta selepas maklumat mengenainya dibocorkan di blog oleh pihak tertentu.

Pendedahan urusniaga itu diburukkan lagi apabila harga tanah asal dibeli 1MDB cuma RM7 kaki persegi, manakala Tabung Haji membayar 1MDB pada kadar RM3,000 kaki persegi.

Dalam pada itu, Mahfuz turut mempersoalkan tindakan Tabung Haji yang menggunakan khidmat juru nilai luar negara untuk membuat penilaian harga semasa tanah milik 1MDB itu.

"Siasatan harus dilakukan sama ada di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja atau jawatankuasa Parlimen kerana Tabung Haji tidak menggunakan juru nilai kerajaan sedia ada," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya urusniaga jual beli tanah milik 1MDB itu dibatalkan serta-merta dan bukannya memaksa Tabung Haji menjual semula hartanah itu kepada pihak ketiga.

"Kami minta perjanjian jual beli itu antara Tabung Haji dengan 1MDB dibatalkan dan duit itu dipulangkan semula, bukan dijual semula kepada pihak lain.

"Dakwaan mengatakan tindakan menjual semula tanah itu akan memperoleh keuntungan sehingga RM5 juta itu tidak termasuk cukai yang perlu ditanggung Tabung Haji," katanya lagi.