• Lim Kit Siang Lim Kit Siang
1 / 1
KOTA BHARU - Rumah siap, pahat berbunyi.  Itu perumpamaan berhubung kontroversi penganjuran ceramah perdana  ‘Kukuhkan Pakatan Hancurkan Barisan’ yang dihadiri pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang di Padang Perdana, di sini, Ahad lalu.

Kehadiran veteran DAP itu di negeri ini tidak disenangi segelintir ahli dan pemimpin Pas negeri yang mendakwa, tindakan penganjur membawa pemimpin itu seolah-olah menyokong tindakan parti itu yang lantang mengkritik cadangan perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan.

Selain Kit Siang, turut hadir dalam ceramah itu ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramlee. Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang dijadualkan turut memberi ucapan tidak hadir. Difahamkan ceramah tersebut dianjurkan Pas Kota Bharu.

Ketua Pemuda Pas negeri, Fadhli Shaari yang mempertahankan jawatan itu dalam Muktamar Pemuda baru-baru ini, mengkritik ucapan dibuat Kit Siang dengan  menyifatkan kehadiran pemimpin bagi memenuhi jemputan ‘anak derhaka’.

Dalam surat terbuka yang ditujukan kepada pemimpin DAP itu, Fadhli menegaskan, beliau telah mengkaji sedalam-dalamnya latar belakang Kit Siang termasuk beberapa buah buku biografi pimpinan tersebut.

Menurutnya,  beliau  bimbang kontroversi yang tercetus daripada ucapan di Kota Bharu itu kelmarin ialah kontroversi yang boleh mematikan terus muafakat yang terjalin dalam Pakatan Rakyat.

“Tahukah tuan( Kit Siang), betapa tergurisnya hati dan perasaan kami atas lontaran kata-kata tuan di halaman kami sendiri. Umpama hadir bertamu, mengutuk lantai tidak serata, mengata dinding tidak berwarna.

“Rumah ini ada tuannya, jika pun tuan hadir dengan jemputan anak yang derhaka, belum tentu anak yang lain boleh membiarkan rumahnya dihina sesuka hati. Apatah lagi jika anak yang baik budiman menjemput tuan hadir, tentu sahaja dihantar pulang dengan hati terluka,” tulisnya.

Fadhli yang juga bekas Setiausaha Akhbar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mempersoalkan tindakan Kit Siang yang menjadikan negara Mesir dan Jordan sebagai contoh negara yang majoritinya Islam tetapi tidak melaksanakan hudud.

“Jangan tuan mengukur Mesir dan Jordan sebagai kayu ukuran. Adapun Mesir dan Jordan itu, yang memerintahnya sekarang ialah ‘Umno’.  Dan seperkara lagi, sekalipun Mesir itu bumi para nabi, bimbang saya teramat sangat jika tuan ke sana bertemu waris cucu Firaun.

“Daripada yang belum faham tentang Islam, semakin jauh tuan dibawa ke bukit kejahilan. Saya bimbang, jika tuan jadikan Mesir dan Jordan sebagai hujah untuk tidak laksanakan syariah Islam, nanti ada yang merujuk pula negara Brunei yang lebih dekat dari sudut geografi dalam isu kerakyatan.

“Dalam hal hudud ini, saya pohon kepada tuan, jangan galak sangat menambah luka. Kami anak muda punya perasaan, pada saat kami boleh bersabar, hargailah kesabaran kami ini. Jika kami bertamu ke tempat tuan, kami sekurang-kurangnya tahu di penjuru mana kami bersila, tidak meludah di tengah laman, tidak menepis huluran salam,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Pas Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.