• Mohamad Sabu "Saya orangnya jenis "cool", saya kena berbincang dengan peguam dan benda ini bukan benda perlu melatah apa-apa. - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
1 / 1
PERMATANG PAUH - Penurunan undi BN pada PRK Parlimen Rompin kelmarin, memberi petanda buruk kepada BN, namun sebaliknya ia berita baik buat PKR.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, penurunan majoriti undi melebihi lima peratus oleh calon BN dalam PRK Parlimen Rompin kali ini berbanding PRU13 menandakan satu suasana tidak baik kepada BN.

“Dengan penurunan graf majoriti undi di kawasan persempadanan di Rompin yang mana kubu kuat BN terdiri daripada majoriti penduduk luar bandar, kawasan yang luas, Orang Asli lebih 5,000, penduduk Felda, menunjukkan isyarat Putrajaya bakal terlepas daripada BN, dalam PRU akan datang.

“Kemerosotan undi berkenaan juga menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini dipertikaikan oleh rakyat negerinya sendiri.

"Daripada pengalaman PRK yang kami lalui, jarang berlaku penurunan undi begitu ketara sekali di kawasan luar bandar untuk parti memerintah," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, beliau yakin trend pengundian yang berlaku di Rompin itu akan diterjemah lebih hebat pada PRK Permatang Pauh, hari ini.

“Isu utama adalah pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Isu 1MDB difahami oleh rakyat kelas pertengahan tetapi masalah GST difahami semua orang.

“Kami daripada Pas yakin, rakyat Permatang Pauh yang terdiri daripada pengundi luar bandar, kelas pertengahan dan kelas perniagaan akan terjemahkan bantahan mereka terhadap isu-isu membebankan rakyat menerusi PRK Permatang Pauh,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya yakin kerja kuat jentera PR sepanjang kempen akan membantu memenangkan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Walaupun PR tidak berada di zon selesa di Permatang Pauh, namun saya yakin kerja kuat masa berkempen akan membantu kemenangan Dr Wan Azizah,” katanya.