• PKR kesan BN bawa pengundi hantu Rafizi Ramli (kiri) menunjukkan slip pengundi hantu yang dipercayai diedarkan petugas BN di Pusat Media PKR, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
PERMATANG PAUH - Kurang 24 jam sebelum pembuangan undi PRK Parlimen Permatang Pauh esok, pemimpin PKR mengesan kehadiran undi hantu yang didaftarkan di sebuah apartmen di Bandar Perda, di sini.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli mendakwa pengundi hantu itu dikesan selepas menemui dua slip pengundi yang diedarkan petugas BN dari rumah ke rumah, semalam.

Beliau mendakwa ditemui pemilik rumah awal pagi tadi yang mengadu kediamannya disalahgunakan individu tidak dikenali sebagai daftar pemilih tanpa pengetahuan dan kebenaran pemiliknya.

"Menurut pemilik rumah itu, dia tidak pernah menyewakan rumah tersebut yang siap sejak 14 tahun lalu.

"Kita mengesan pengundi hantu itu berdasarkan butiran dalam slip itu seperti nama pengundi, alamat rumah, saluran dan tempat mengundi.

"Dua slip itu hasil laporan pemilik rumah itu yang mengadu tidak mengenali kedua-dua pengundi yang menggunakan alamatnya," katanya pada sidang media di Pusat Media PKR, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata hasil siasatannya mendapati individu bernama Sakinah Ahmed tersebut pada PRU12 mengundi di Parlimen Jelutong.

Bagaimanapun pada PRU ke-13 lalu, daftar pemilih Sakinah telah berpindah ke Parlimen Permatang Pauh.

Selain Sakinah, seorang lagi individu bernama Nur Fadilawaty Hanafi turut dikesan menggunakan alamat palsu untuk mengundi pada esok hari.

Bagaimanapun katanya lima lagi slip pengundi yang ditemui di unit apartmen sama itu turut menggunakan alamat palsu.

"Ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Sebelum ini, perkara yang sama juga berlaku di kawasan saya iaitu di Parlimen Pandan pada PRU13 lalu," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau akan mengarahkan Jabatan Daerah Mengundi (JDM) dari PKR, DAP dan Pas untuk menghalang pengundi hantu itu daripada keluar mengundi.

"Kita akan pastikan mereka melarikan diri apabila melihat jentera-jentera dari PKR," ujarnya.