• Zainuri Zainal Zainuri Zainal
1 / 1
SHAH ALAM - Pemuda Umno Selangor menyuarakan kebimbangan kemungkinan rakyat akan berpaling tadah dari parti itu jika segala kemelut tidak dapat diselesaikan.

Ketuanya, Zainuri Zainal berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menyelesaikan kontroversi dan kemelut yang melanda sebelum PRU14 bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Saya akui Umno sekarang ini sedang berdepan saat sukar. Saya risau jika berlanjutan seperti isu GST dan kemelut 1MDB tidak selesai, ia akan memberi kesan kepada PRU14.

“Rakyat masih lagi mengharap yang terbaik dari pimpinan atasan untuk selesaikan perkara itu secepat mungkin. Rakyat masih berharap dan menjadikan Umno sebagai tempat bergantung nasib,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya enggan melihat sebarang pergolakan pimpinan di peringkat atasan berulang kembali kerana ia mampu memberi kesan kepada akar umbi.

“Rakyat memerhati segala tindak tanduk pimpinan atasan termasuk cara bagaimana mereka menyelesaikan konflik.
“Saya juga tidak nafikan ramai pengundi atas pagar memerhati dan mereka ada hak untuk memilih.

“Jadi saya ingin pastikan Umno terus dipercayai untuk memimpin tetapi segala konflik perlu diselesaikan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Selangor, Salbiah Saari berkata, beliau tidak menafikan pimpinan tertinggi juga tidak terlepas melakukan kesilapan, namun segala masalah perlu diatasi melalui saluran yang betul.

“Jangan bila ada isu berbangkit, contohnya isu pelaksanaan GST kita tuding jari kepada pemimpin tertinggi Umno sedangkan perkara itu harus ditangani dan diselesaikan oleh kementerian berkaitan.

“Tinggi harapan saya untuk melihat Umno terus menerajui negara ini dan menjadi tunggak kepada BN,"katanya.