• SPR batal lawatan ke pusat mengundi Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang media di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Kolej Komuniti Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
PERMATANG PAUH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membatalkan beberapa program lawatannya ke Pusat Mengundi PRK Parlimen Permatang Pauh berikutan nasihat polis atas faktor keselamatan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beliau dan Timbalannya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dijadual melawat empat pusat mengundi namun atas nasihat polis, beliau hanya sempat melawat sebuah pusat mengundi di Seberang Jaya.
  
Katanya, beliau dimaklumkan terdapat perkara yang tidak diingini berlaku seperti kejadian membaling objek, caci mencaci dan ancaman daripada penyokong kedua-dua pihak.
  
"Penyokong-penyokong di sini lebih agresif berbanding PRK Rompin dan mereka lebih kepada memantau pergerakan pihak SPR," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Oon di sini, hari ini.
  
Katanya, lawatan para pegawai SPR ke pusat mengundi pada hari mengundi adalah satu budaya untuk memantau perjalanan proses mengundi.
  
Namun, Abdul Aziz berkata penyokong-penyokong di Permatang Pauh yang banyak memantau ini, takut kepada pegawai SPR.
  
"Saya turut ditanya seorang penyokong apa hal yang berlaku, apabila saya melawat satu daripada pusat mengundi.
  
"Lawatan kami cuma nak memastikan proses mengundi ini mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz optimis dengan jumlah pengundi yang keluar mengundi ini akan mencapai 80 peratus walaupun agak rendah berbanding PRK Rompin.
  
Katanya, SPR yakin akan mencapai sasaran itu sekiranya peratusan pengundi yang keluar mengundi mengikut setiap jam itu kekal dalam 10 hingga 11 peratus.

"Sekiranya jumlah peratusan itu jatuh di bawah 10 peratus mengikut setiap jam, kemungkinan besar kita tidak dapat mencapai sasaran itu.
  
"Jangkaan kami keputusan rasmi akan dapat diumumkan jam 9 malam tetapi parti-parti politik akan dapat tahu keputusan tidak rasmi seawal 6.30 petang," katanya.
  
Abdul Aziz berkata, polis telah membuka tujuh kertas siasatan terhadap parti-parti politik yang melanggar Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
  
"Kami hanya melaporkan kepada polis untuk menyiasat dan mendapatkan bukti yang kukuh sebelum diserahkan kepada AG (Jabatan Peguam Negara)untuk tindakan selanjut," katanya.   

Mengenai dakwaan pengundi hantu, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya menerima laporan namun kebiasaannya ia bukan pengundi hantu, cuma kesilapan pendaftaran alamat kediaman.

Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas). - Bernama