• Hudud Pas
1 / 1
PERMATANG PAUH - Belum pun kempen PRK Permatang Pauh berakhir lewat malam ini, suasana kempen dicemari dengan pergaduhan kecil apabila dua kumpulan penyokong Pas bertindak kasar kerana isu hudud.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu pada mula berlangsung dengan aman di Pasar Penanti, bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila penyokong ulama dari Pas Bagan 'menceroboh' kawasan Pas Penanti.

Kehadiran mereka berkempen kepada orang ramai supaya tidak mengundi calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sambil menyifatkannya sebagai penentang hudud.

Bahkan kumpulan penyokong ulama itu juga membawa sepanduk yang tertera "Pemuda bersama kepimpinan ulama" serta "hudud hukum ALLAH".

Dalam himpunan itu, seramai 20 penyokong ulama terlibat dan berlaku sedikit pertelagahan dan pertikaman lidah di antara kedua-dua penyokong Pas.

Selepas 10 minit perbalahan berlaku, kedua-dua penyokong bagaimanapun diredakan pihak polis yang mengawal kawasan kejadian.

Menurut bekas Setiausaha Pas Permatang Pauh, Abdul Razak Abdullah yang ditemui pemberita menyifatkan kejadian itu sebagai cubaan sabotaj dan provokasi terhadap Pas di kawasan Penanti.

"Mereka tahu di sini merupakan kubu kuat Pas dan PR, mereka sengaja hendak buat kacau," katanya kepada pemberita selepas kekecohan itu selesai.

Abdul Razak juga mendakwa peserta demonstrasi yang terlibat merupakan pihak yang rapat dengan bekas calon BN, Dr Mazlan Ismail selain penglibatan ahli Pas sendiri.

"Memang ada orang Pas, iaitu Ketua Penerangan Pas Bagan, Azmi, dia tidak mengundi di sini, jadi Azmi tak berhak buat kacau di kawasan Permatang Pauh," katanya lagi.