• TRX: Tabung Haji buat laporan polis Datuk Johan Abdullah selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi petang tadi.
1 / 1
KUALA LUMPUR - Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Tabung Haji (TH), Datuk Johan Abdullah hari ini membuat laporan polis berhubung ‎penyebaran maklumat TH membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX) menggunakan wang pendeposit yang disimpan dan bukannya wang kerajaan.

Laporan polis dibuat oleh‎nya di Balai Polis Dang Wangi sekitar jam 3.24 petang tadi.

Terdahulu dalam sidang media sebelum itu, Johan berkata, laporan polis itu dibuat kerana dokumen dikeluarkan oleh blog tersebut dengan cara yang tidak betul‎.

"Ini dokumen sulit. ‎Bagaimana dokumen tersebut boleh dimasukkan dalam blog itu?

"Cara maklumat sulit itu digunakan untuk orang ramai iaitu memanipulasi fakta telah menyebabkan ramai orang keliru. ‎(Akibatnya) banyak andaian yang tidak betul‎ timbul," katanya sebelum itu pada sidang media di Kompleks Tabung Haji, di sini.

Terdahulu, Johan turut‎ menafikan TH membeli Signature Tower (Fasa 2) sepertimana yang dilaporkan di blog-blog tertentu.

Beberapa blog sebelum ini memuatnaik dokumen-dokumen berkaitan pembelian tanah TRX dan mendakwa ia menggunakan wang pendeposit yang disimpan dan bukannya wang kerajaan.‎