•  Dr Wan AzizahDr Wan Azizah (tengah) ketika diumumkan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh setelah menewaskan calon BN, Suhaimi pada PRK parlimen Permatang Pauh, malam kelmarin.
 1 / 1 
PERMATANG PAUH - Pengundi Permatang Pauh sudah buat keputusan dengan mengekalkan legasi PKR atau keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakili suara dan hati mereka sejak 1982.

Mereka terus memberi kepercayaan kepada calon PKR yang juga presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menerajui parlimen itu bagi tempoh tiga tahun akan datang sebelum PRU14.

Dr Wan Azizah mengungguli carta dengan 30,316 undi berbanding calon BN, Suhaimi Sabudin 21,475 undi; calon Bebas, Salleh Isahak (367) dan Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia (101).

Walaupun timbul beberapa isu meruncing dalam kalangan gabungan PR, terutama Pas dan PKR, ia sedikit pun tidak menjejaskan hubungan yang terjalin demi berkongsi matlamat yang sama untuk ke Putrajaya.

Pas nampak begitu sabar dan terus mengalah dengan rakan lain walaupun diperlakukan apa sahaja selama ini sehingga ada yang memberi pelbagai gelaran, semua itu tidak menghakis kesetiaannya dengan PR.

Berdasarkan keputusan PRK Permatang Pauh malam kelmarin, menunjukkan undi Pas masih kepada PKR dan tidak berubah. Mereka masih memberi sokongan padu walaupun pada awalnya timbul ugutan Pas Kawasan Permatang Pauh memboikot jika PKR mencalonkan Dr Wan Azizah. Tetapi akhirnya, berpatah balik kepada laluan asal.

Begitu dengan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang yang mengugut merehatkan jentera pilihan raya berikutan kenyataan AMK Pulau Pinang yang mengguris perasan mereka apabila menyentuh mengenai kewibawaan ayahanda mereka (Presiden Pas).

Tetapi sekali lagi berpatah balik dan masuk semula ke laluan asal.

Ugutan jiran iaitu Pas Kawasan Bagan untuk memastikan 10,000 ahli Pas memboikot dan merosakkan kertas undi sebagai tanda protes terhadap Dr Wan Azizah juga tidak menjadi kenyataan dan berlalu begitu sahaja.

Seorang pemerhati politik tempatan yang tidak mahu dikenali berkata, kesetiaan Pas memang tidak perlu diragui lagi dan semangat itu terus dipupuk dalam kalangan ahlinya walaupun mereka dihina atau disisihkan.

Mereka berpegang kepada semangat Islam dan pantang sekali mungkir janji setelah dimeterai walaupun kadang-kadang tidak membawa sekarang keuntungan atau manfaat.

Beliau berkata, tidak rugi jika ahli Pas beralih angin dengan memberi undi kepada BN sebagai pengajaran kepada PKR dan mungkin DAP. Tetapi mereka tidak 'tikam belakang kawan' berbanding rakan lain.

“Saya puji semangat setiakawan Pas dalam hal ini walaupun kadang-kadang ia melampaui atau tersasar dari isyarat tersembunyi dari kepimpinan tertinggi Pas.

“Agak sukar untuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan arahan secara nyata kepada ahlinya agar memboikot PRK Permatang Pauh agar tidak mengeruhkan hubungan dalam PR. Tetapi tindak-tanduk dan kenyataannya sudah jelas
bahawa beliau tidak menyokong PKR.

Menurutnya, mungkin mesej itu gagal diselami dengan teropong hati oleh ahli Pas di Permatang Pauh.

Kehadiran Timbalan Presiden, Mohamad Sabu tidak mencerminkan sokongan padu secara keseluruhan kepada PKR kerana orang nombor dua itu kerap menyanggah presiden dan tidak sealiran dalam banyak hal.

Seorang lagi pemerhati politik tempatan berkata, trend pengundi sejak kebelakangan ini agak pelik kerana mereka lebih melihat kepada parti dan bukan calon yang diketengahkan.

Sebagai contoh, BN menampilkan calon lengkap pakej tersendiri di Permatang Pauh tetapi masih ditolak tanpa alasan yang munasabah.
“Apa lagi yang kurang pada Suhaimi Sabudin berbanding Dr Wan Azizah yang banyak komitmen sehingga Kajang terabai.

“Nasib sama mungkin berlaku kepada kawasan ini kerana sejarah sebelum ini membuktikan beliau gagal menguruskan Permatang Pauh dengan baik ketika menjadi ahli parlimen dari 1999 hingga 2008,” katanya.

Menurutnya, kini tertanam satu istilah dalam fikiran pengundi, terutama golongan muda bahawa pilihlah calon selain Umno atau BN.

“Mereka hanya akan mengundi calon yang bukan dari Umno atau BN. Walaupun calon itu berkaliber dan mampu buat kerja, ia tidak diambil kira dan tetap dicantas.

“Jadi calon dari parti lain tetap jadi pilihan walaupun kurang berwibawa dan kerap tinggalkan kawasan dan pengundi terkapai-kapai,” katanya.

Sementara itu, bekas pemimpin Pas yang minta namanya dirahsiakan berkata, pergolakan dalam PRK Permatang Pauh, 'macam kapal nak karam' memang sudah dijangka akan berakhir sedemikian rupa.

“Hanya ribut dalam secawan kopi. Mula-mula riuh, lepas tu selesai tanpa banyak soal,” katanya.

Jelasnya, kebanyakan pemimpin parti itu terikat jawatan lantikan kerajaan negeri seperti jawatankuasa kemajuan dan keselamatan komuniti, ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Katanya, jika masih berdegil tidak mustahil jawatan itu akan ditarik balik dan diganti dengan pemimpin lain dilihat setia dengan perjuangan PR.

“Sekarang ini, kita boleh lihat sendiri. Mereka berjuang untuk parti atau kepentingan diri sendiri.

“Apa ada dengan ganjaran kewangan sedikit berbanding menggadaikan prinsip perjuangan dalam parti yang begitu dipandang mulia oleh pemimpin terdahulu,” katanya.

Mengambil contoh yang berlaku kepada Yang Dipertua Pas Kawasan Bayan Baru, Iszuree Ibrahim yang digantung semua jawatankuasa dalam MBPP (ketika itu MPPP) kerana lantang dan membangkitkan isu tanah dalam Muktamar Pas tahun lalu.

“Adakah salah sebagai Pengerusi Lajnah Tanah Pas Pulau Pinang membangkitkan isu tanah dan masalah orang Melayu di negeri ini. Kenapa perlu mengambil tindakan sebegitu kepadanya. Fikirlah sendiri,” katanya.

Beliau membangkitkan nasib menimpa pemimpin PKR peringkat cabang, Johari Kassim yang pernah mengkritik pelantikan Yang Dipertua MPSP, Datuk Mokhtar Jait beberapa tahun lalu dengan alasan lebih wajar diberikan kepada orang politik.

“Johari mengugut akan memboikot majlis angkat sumpah jika Mokhtar dilantik. Akhirnya beliau digugurkan dari ahli MPSP.

“Selepas meminta maaf, beliau dilantik semula pada penggal baharu. Tetapi apa guna kerana tidak boleh bersuara langsung,” katanya.

Menurutnya, semua pemimpin parti dalam PR di Pulau Pinang mampu dikawal dengan mudah kerana ditawarkan pelbagai jawatan dengan alasan berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, pemimpin Pas perlu lebih istiqamah dalam perjuangan parti dan tidak mudah hilang arah jika digertak oleh sekutu dalam PR.

“Saya nampak PR mungkin sudah hilang kepercayaan kepada Pas dan akan beralih kepada Pasma sebagai rakan baharu gabungan itu,” katanya.

Tambahnya, begitulah nasib parti perjuangan Islam diuji dengan ujian kebendaan oleh ALLAH SWT.