• Mohd Nor, Syed Azman Mohd Nor, Syed Azman
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Pembangkang mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Pusat berhubung status kawasan medan minyak di Blok PM307 Bertam yang dikatakan berada di kawasan perairan Terengganu.
 
Mohd Nor Hamzah (Pas-Bukit Payong) berkata, desakan dibuat kerana isu itu amat membimbangkan dan penegasan perlu dibuat, malah rakyat berhak tahu mengenai status telaga minyak terbabit.
 
“Penegasan perlu dibuat, penjelasan, perakuan perlu diberitahu kepada rakyat. 
 
"Apa sikap kerajaan terhadap isu Bertam ini? Apakah Kerajaan Terengganu hanya mahu diamkan diri walhal Perdana Menteri menyerahkan secara mudah RM100 juta kepada kerajaan Pahang?
 
“Ia seolah-olah Terengganu tiada hak sedangkan Adun dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah menuntut 20 peratus royalti minyak walaupun mereka juga kerajaan daripada yang sama (BN),” katanya.
 
Azan Ismail (PKR-Bandar) pula mencelah dengan menegaskan perlu ada satu usaha untuk mengembalikan status telaga minyak itu kepada kedudukannya yang sebenarnya.
 
Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) berkata, beliau pernah membawa usul mengenai royalti minyak lebih dua tahun lalu iaitu usul di bawah fasal 30 pada 11 Disember 2012.
 
“Isu royalti minyak Bertam kepada kerajaan negeri adalah persoalan kedaulatan dan maruah Terengganu yang berdaulat. Setiap rakyat Terengganu walaupun apa jua pegangan politik, Umno, Pas ataupun tidak berparti, wajib mempertahankan hak dan maruah Terengganu Darul Iman.
 
“Begitu juga dari segi hak, rakyat Terengganu, semuanya sayangkan negeri ini...maka kita perlu bersatu mempertahankan hak negeri ini daripada diambil dengan begitu mudah,” katanya.
 
Menurut Syed Azman, selepas usul yang dibawa itu, pada 21 Disember 2012, beliau bersama Adun Paka, Satiful Bahri Mamat dan beberapa yang lain telah menghantar memorandum kepada pengurusan Petronas. 
 
“Kami telah nyatakan akan hak dan kepentingan yang perlu dipertahankan bagi negeri ini. 
 
"Sebuah jawatankuasa khas mengenai royalti dan masa depan Bertam bagi kepentingan negeri Terengganu perlu ditubuhkan segera yang melibatkan setiausaha kerajaan negeri, Exco, anak Terengganu dalam kalangan korporat dan kumpulan akademik,” katanya.