• Wan Azizah Wan Ismail Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (tengah) pada sidang media terakhir sebelum pembuang undi PRK Permatang Pauh di Yayasan Aman, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
PERMATANG PAUH - Calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui agak tertekan dengan jumlah keluar mengundi yang merosot sehingga 12 peratus di PRK Rompin semalam yang dibimbangi memberi kesan sama pada pembuangan undi PRK Permatang Pauh, esok.

Beliau bagaimanapun menyalahkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh pilihan raya itu pada hari bekerja dan menyukarkan pengundi untuk pulang melunaskan tanggungjawab mereka.

"Kita melihat bagaimana SPR menganaktirikan kita (PR), sebab ini adalah cuti panjang, sepatutnya Permatang Pauh patut buat pemilihan lebih awal lagi dari PRK Rompin.

"Dengan apa yang telah SPR lakukan, memang akan menjadi (merosot) kita harap tidak terkesan sangat, harap orang mengambil inisiatif untuk balik mengundi," katanya pada sidang media harian di Yayasan Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas peratusan keluar mengundi yang merosot sehingga 12 peratus pada PRK Rompin semalam dari 53,596 pengundi pada PRU13 kepada 39,288 pengundi, semalam.

Terdahulu, calon BN, Datuk Hasan Arifin memperolehi majoriti 8,895 undi dengan jumlah undi keseluruhan 23,796 undi berbanding calon Pas, Nazri Ahmad dengan 14,901 undi, manakala undi rosak sebanyak 591.

Peratusan keluar mengundi pada PRK Rompin merosot iaitu 74 peratus berbanding 85.9 peratus pada PRU13 di kawasan sama.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya banyak kali menekankan perkara tersebut supaya SPR dapat memilih tarikh yang lebih sesuai.

"Kita tekankan berkali-kali SPR harus dipersalahkan kerana memilih tarikh hari kerja.

"Perkara ini juga sudah dibangkitkan banyak kali dan kemungkinan besar bahawa kadar peratusan keluar mengundi (PRK Permatang Pauh) juga akan menurun," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin mencabar pengundi kawasan itu yang berada dalam negara supaya balik mengundi.

"Kalau kawan-kawan dari luar negara sanggup bersusah-payah balik mengundi (dari Shanghai), apatah lagi pengundi dalam negara.

"Trend di Rompin itu agak membimbangkan dan ia tidak baik, kita harapkan lebih baik di sini, kita cabar pengundi-pengundi kita boleh kalahkan Rompin untuk lebih ramai lagi pengundi keluar," katanya lagi.