Apa agenda Wall Street Journal?
NEGARA sebelum ini dikejutkan laporan dua media, Wall
Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang mendedahkan mengenai
penyelewengan membabitkan RM2.6 bilion dana milik 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Pada 3 Julai lepas, WSJ menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah
hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam
akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu
dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang
perdana menteri yang dipilih secara demokratik.
1MDB juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada perdana menteri.
Ternyata dakwaan itu memberi kejutan kepada seluruh rakyat selain
menjadikan Malaysia kembali tumpuan dunia seusai tragedi MH370 danMH17
mulai kurang mendapat liputan media.
Tampil bertindak, pihak berkuasa mengambil langkah tepat dengan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan yang dikemukakan.
Daripada menutup akaun bank individu yang didakwa terlibat dalam
penyelewengan tersebut, hinggalah kepada serbuan pejabat 1MDB dilakukan
oleh pihak berkuasa.
Terbaharu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut
terpalit dengan kontroversi dan didakwa dana milik 1MDB berjumlah RM2
juta dimasukkan ke dalam akaunnya seperti mana dilaporkan Sarawak Report
dan kemudiannya dilaporkan pula oleh WSJ secara meluas.
Bagi memastikan sisatan dijalankan secara komprehensif, Pasukan Petugas
Khas itu yang diluluskan Parlimen, diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul
Gani Patail dan dibantu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar,
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri
Abu Kassim dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
ditubuhkan.
Bagaimanapun, setelah beberapa ketika meneliti ‘kesungguhan’ WSJ
melaporkan setiap gerak perjalanan isu 1MDB, timbul beberapa persoalan.
Apa agenda WSJ sebenarnya?
Tinjauan Sinar Online ke atas profil media ini menerusi laman Wikipedia
mendapati, akhbar ini sudah berusia 126 tahun ini diterbitkan oleh Dow
Jones & Company; yang kemudiannya diambil alih oleh News
Corporation.
Menyelak latar belakang media antarabangsa ini, WSJ kini menjalankan
operasi di ibu pejabatnya di New York, Amerika Syarikat (AS) dan
mempunyai edisi Asia dan Eropah.
Untuk rekod, WSJ sebelum ini pernah dikritik hebat oleh Gabenor
Wisconsin, Scott Walker yang menyifatkan portal berkenaan terlalu
lantang mengkritik realiti undang-undang imigresen negara itu.
Dalam satu temu bual yang disiarkan oleh sebuah portal antarabangsa
pada April lalu, Walker dipetik sebagai berkata, pandangannya terhadap
undang-undang imigresen dan kewarganegaraan AS amat mudah dan media
seperti WSJ ‘tidak tahu apa-apa ‘ dalam undang-undang imigresen.
“WSJ mempunyai tanggapan yang sangat salah terhadap saya dan
undang-undang imigresen. Kedudukan saya di sini adalah mudah, negara
perlu mempunyai sempadan yang selamat dari dilintasi oleh sesiapa secara
haram,” tegasnya.
Beliau malah mengulangi pendiriannya terhadap pendatang haram yang ditangkap di negara tersebut.
Sementara itu, pada tahun 1985, 1989 dan tahun 2008, bekas Presiden
Singapura, mendiang Lee Kuan Yew dilaporkan pernah mengambil tindakan
undang-undang ke atas agensi berita itu selepas didapati menyebarkan
laporan palsu.
Pada tahun 1985, WSJ didapati bersalah kerana menghina mahkamah dan
badan kehakiman Singapura, menyebabkan mereka terpaksa membayar sejumlah
pampasan.
Pada tahun 1989, portal itu sekali lagi terlibat dengan saman fitnah
yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap mahkamah dan institusi
kehakiman, menyebabkan mereka terpaksa membayar pampasan kepada beliau.
Pada September tahun 2008, WSJ sekali lagi tewas dalam saman yang
dikenakan ke atasnya, menyebabkan portal tersebut terpaksa membayar
S$25,000 (RM70,175.80) kepada Kuan Yew.
0 orang berkata:
Post a Comment