Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

PKR MULA MENUNJUKKAN BERMUSUH TERHADAP PAS SELEPAS DAP


G18 : Tindakan Menyongsang Arah



1. Hiruk pikuk negara dengan pengisytiharan kumpulan G18 yang mahu menubuhkan parti baharu selepas Aidilfitri nanti. Kini mereka namakan gerakan mereka sebagai Gerakan Harapan Baru atau singkatan GHB. Satu langkah nekad yang dipimpin oleh Tuan Hj Mohamad Sabu. Tuan Hj Salahudin Ayub pula sebagai timbalannya.

2. Kedua - dua mereka pernah memimpin Dewan Pemuda PAS Malaysia sebelum ini. Ucapan dan nasihat yang sering mereka utarakan ialah supaya kami anak muda senantiasa istiqamah dengan perjuangan Islam di atas wadah PAS walau apa bentuk badai melanda dan kemana posisi sekali pun kita dilontar, kita menjadi biji benih yang subur untuk terus berperanan tanpa meninggalkan jamaah ini. Suatu nasihat yang masih segar dalam ingatan saya.

3. Namun kini, mereka mengepalai gerakan ke arah menubuhkan parti baharu. Ertinya mereka mahu melepaskan talak dan terus berpisah dari PAS.  Lebih malang, mereka adakan roadshow ke seluruh negara, menggunakan premis PAS dan mengajak ahli PAS menyertai mereka untuk menyertai parti baharu itu. Jelasnya mereka mengajak ahli PAS keluar meninggalkan PAS.

4. Tindakan G18 sangat tidak bermaruah. Sementara mereka masih berstatus ahli PAS, mereka melakukan perkara yang merosakkan PAS dari dalam. Layaknya tindakan mereka itu adalah satu pengkhianatan kepada jamaah atau parti. Ia satu kesalahan besar dan pasti mereka akan dirujuk kepada tindakan disiplin parti berasaskan peruntukkan perlembagaan PAS yang sedia ada.

5. Kecuali mereka bukan lagi ahli parti maka mereka bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa terikat dengan peraturan dan arahan parti. Itulah sayugianya mereka lakukan setelah mereka hilang kesetiaan kepada PAS atas apa alasan sekalipun. Tidak ada apa-apa nilai lagi bagi mereka berada di dalam PAS jika tindakan mereka sedemikian rupa. Melainkan mereka memang bermaksud demikian, iaitu kekal dalam PAS dan rosakkan PAS dari dalam dengan menghasut ahli keluar meninggalkan PAS menyertai parti mereka yang bakal ditubuh kelak. Tindakan sebegitu bukan sekadar pengkhianatan malah juga satu kejahatan.

6. Saya yakin mereka hanya mampu menarik individu yang tidak sayang kepada PAS untuk meninggalkan PAS menyertai mereka. Hanya mereka yang berkepentingan diri dan mempunyai agenda tertentu yang bersalahan dengan dasar PAS sahaja yang akan mengangkat kaki menapak mengikut arah mereka. Justeru individu yang punya rasa sayang pada PAS tidak akan tergamak meninggalkan PAS semata - mata mereka tidak menang dalam pemilihan muktamar atau semata - mata pemimpin pilihan mereka kalah.

7. Sementara mereka yang sememangnya mempunyai agenda tertentu yang bersalahan dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam yang didokong oleh PAS akan pantas menjadikan situasi pasca muktamar PAS ke 61 sebagai turning point untuk mereka meninggalkan PAS. Saya yakin golongan ini sebenarnya sejak hari pertama mereka menyertai PAS, telah tersemat dalam diri mereka perancangan seperti ini. Ia adalah pelan 'B' mereka setelah gagal menguasai PAS dengan agenda mereka.

8. Mereka tidak pernah rasa ralat dan bersalah jauh sekali terasa sayang kepada PAS, kerana PAS hanyalah batu loncatan atau platform untuk capai cita - cita politik mereka. Sedang mereka mempunyai jamaah lain yang diberikan wala' atau kesetiaan. Mereka punya rumah kekal tempat mereka memusatkan segala strategi dan perencanaan, sementara PAS adalah rumah tumpangan untuk mereka beraksi sebagai front politik semata - mata, tidak lebih dari itu.

9. Langkah awal mereka adalah songsang dan akhirnya mereka menyongsang arah. Malangnya mereka berjaya mengelirukan sebahagian kecil ahli PAS dengan pembawaan dan ajaran songsang mereka untuk menubuhkan satu lagi kononnya parti berteraskan Islam dalam negara ini yang kononnya untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dengan mewujudkan Pakatan Rakyat 2.0. Mereka ahli PAS, lalu keluar menubuhkan parti baharu kemudian mengajak ahli PAS sertai parti itu untuk bergabung dengan Pakatan Rakyat. Ertinya mereka hanya berlegar dalam circle atau zone pembangkang. Tidak ada sebarang nilai tambah.

10. Sebaliknya tindakan mereka hanya memecahkan kedudukan ummat Islam khasnya dan pembangkang amnya serta tidak memberi apa - apa nilai tambah kepada kekuatan pembangkang untuk menumbangkan UMNO dan BN. Kecualilah mereka bermula dengan memecahkan dalaman UMNO dan BN lalu bergerak mengeluarkan ahli UMNO dan BN menyertai parti baharu itu sepertimana yang pernah dilakukan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim yang membawa orang - orang UMNO dan BN membentuk Parti Keadilan Rakyat. Satu sudut yang lain, saya dan masyarakat umum melihat bahawa ia tidak lebih sekadar tindakan orang yang kecewa.

Istiqamah Hingga Kemenangan
Sekian.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.