KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menafikan bahawa beliau terlibat dalam plot untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh terjadi kerana saluran Perlembagaan membenarkannya.

"Saya tidak tahu ada pakatan nak gulingkan kerajaan oleh tokoh dalam dan luar parti. Saya tidak tahu.

"Kalau nak guling kena ada tentera kalau orang biasa tak kan nak guling. Di Parlimen kalau tak cukup bilangan tak boleh buat. Tetapi Perlembagaan benar undi tidak percaya. Itu sahaja boleh dilakukan oleh mana-mana kumpulan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Anak Gua Musang di perantauan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, usaha untuk menukar kerajaan itu perkara biasa dan perkara itu sudah dilakukan oleh pembangkang sejak sekian lama.

Katanya lagi, mana-mana pihak yang tidak senang hati dengan pentadbiran kerajaan hari ini boleh kemukakan usul.

"Kalau bilangan cukup berjayalah dia. Kalau tiada bilangan cukup tak berjayalah.

"Ada orang datang tanya saya, macam mana kalau kita tak bersetuju (dengan kerajaan). Saya kata macam pembangkang duduk buatlah. Ini kerja biasa pembangkang," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ada usaha guling kerajaan guna ‘pintu belakang’]

Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin BN termasuk Umno.

Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Bodoh tuduh saya mahu jatuhkan kerajaan']

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan sesuatu yang bodoh terhadap mana-mana pihak yang mendakwa beliau mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Beliau juga bekas Timbalan Perdana Menteri yang baru digugurkan dari Kabinet itu berkata, menjadi sebahagian daripada kerajaan selama 40 tahun dan tidak boleh diterima akal untuknya memusnahkan apa yang dibina selama ini, lapor Malaysiakini.

"Saya tidak akan cuba menjatuhkan kerajaan yang pernah saya bantu bina. Itu bodoh," katanya secara terbuka di mesyuarat perwakilan Umno Semporna, hari ini.