LEDANG - Gerakan Harapan Baharu  (Harapan Baru) yang akan ditubuhkan secara rasminya pada 31 Ogos ini  menjangkakan lebih ramai pemimpin dan ahli Pas serta masyarakat akan menyertai parti tersebut berikutan respon luar biasa yang diterima dalam beberapa siri jelajah sebelum ini.
 
Pengerusinya, Mohamad Sabu berkata, penjelajahan bagi tujuan  kempen memperkenalkan parti baharu itu  telah dilakukan sejak 17 Jun lalu ke seluruh negara dan maklum balas yang diterima sangat baik.
 
“Malam esok (hari ini) di Terengganu, lusa di kedah dan kemudiannya di Pulau Pinang. Akhir  sekali (siri jelajah) adalah di Sarawak pada 5 dan 6 September ini.
 
“Di Johor umpamanya menerusi tiga siri jelajah yang dibuat  di Bakri (Muar), Tongkang Pechah (Batu Pahat) dan Tangkak (Ledang) mendapat  maklum balas yang terlalu  baik dan Johor adalah yang terbaik setakat ini,” katanya. 
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Gegar Johor anjuran Harapan Baru di Taman  Tangkak Jaya di sini, malam tadi.
 
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Harapan Baru, Salahuddin Ayub; Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim dan bekas Pesuruhjaya Pas Johor,  Aminolhuda Hassan.
 
Bekas Timbalan Presiden Pas itu berkata, respon positif itu meningkatkan keyakinan parti baharu itu akan dapat menawan negeri ini pada pilihan raya umum akan datang dan kemudiannya memerintah negara.
 
“Di Selangor baharu permulaan (menyertai Harapan Baru). Bukan sahaja ahli Pas tetapi semuanya termasuk bukan ahli Pas dan ada yang dari Umno menyertai Harapan Baru,” katanya.
 
Ketika ditanya mengenai hubungan dengan Pas selepas kumpulan progresif yang tersingkir dalam Pas pada muktamar yang lalu mengumumkan menubuhkan Harapan Baru, Mohamad Sabu berkata, hubungan di antara mereka masih baik dan keputusan itu tidak menjejaskan persahabatan yang sudah lama terjalin.
 
“Macam biasalah (hubungan), hubungan peribadi tiada masalah. Cuma kali ini kami berbeza idealogi politik dan parti.
 
“Sahabat tetap sahabat (tidak timbul isu hubungan tidak baik dengan kepemimpinan Pas),” katanya.
 
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan negeri Kedah kepada kerajaan persekutuan supaya menurunkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada tiga peratus.
 
“Tiga ke empat ke apa ke,  GST tetap  tidak boleh dilaksanakan sekarang. Kita mahu lawan rasuah dan penyelewengan dahulu, kemudian baru kepada rakyat.  
 
“Di Malaysia rasuahnya terlalu tinggi seperti kes  syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ini adalah skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara ini selepas merdeka. Jika rakyat tidak buat perubahan sekarang, saya tidak tahu hendak cakap apa lagi,”katanya
.