Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan itu langsung tidak membimbangkan sebaliknya optimis dengan tindakan pihak terbabit dan menyifatkan ia adalah pemutihan yang berlaku secara automatik.

"Itu pembersihan parti yang berlaku dengan sendiri. Apabila berlaku banjir bah, pasir berubah..tidak risau, tidak risau. Gembira, gembira," katanya kepada pemberita ketika hadir di Majlis Hari Raya Terbuka Pas Terengganu di hadapan Pejabat Pas Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh serta pimpinan negeri termasuk Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat.

Beliau turut memberitahu bahawa keahlian Pas semakin meningkat sejak akhir-akhir ini dan mendakwa kira-kira 4,000 ahli baharu telah pun didaftarkan, manakala lebih kurang 3,000 borang keahlian baharu sedang diproses ketika ini.

Dalam perkembangan sebelum ini, beberapa pihak keluar Pas termasuk bekas Ketua Pemuda Pas Melaka, Jauhar Mohd Dawi yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Harapan Baru, sebelumnya bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Adly Zahari dan Ketua Pemuda Pas Shah Alam, Helmi Radzuan, serta 12 orang anggota jawatankuasanya.

Selain itu, seramai 12 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli Pas kawasan Jelebu termasuk bekas Ketua Pemuda Pas Kawasan Jelebu, Mohd Faizal Fadli Idrus turut mengambil tindakan sama, semalam.

Dalam perkembangan lain berhubung Himpunan Bersih 4.0, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberitahu pihaknya hanya menghantar dua orang wakil ke perhimpunan tersebut pada 29 dan 30 Ogos ini kerana memaklumkan pihaknya akan menganjurkan majlis sendiri nanti.

Dua wakil tersebut adalah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Timbalan Pesuruhjaya 1 Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad.