Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti di peringkat negeri ini, mengambil ketetapan bahawa urusan kerajaan adalah budi bicara mutlak seorang Perdana Menteri.


Menurutnya, keputusan pengguguran Muhyiddin mesti dihormati dan didukung walaupun pada hakikatnya, ada di kalangan ahli Umno di Johor berada terluka.


“Kami juga mengambil ketetapan Umno hanya ada satu nakhoda iaitu Presiden Umno dan kita mesti memberikan kepercayaan untuk dia mengemudi bahtera ini.


“Tetapi hormat kami tidak akan berkurang pada Timbalan Presiden. Cara Johor, ialah mendamaikan dan mengajak semua pihak ke arah muafakat kerana semua kita adalah bahagian penting dalam keluarga besar Umno,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang di sini semalam.


Hadir sama, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak.
Mohamed Khaled berkata, Umno Johor menyeru agar Timbalan Presiden Umno terus dihormati malah tidak akan membelakangkan Muhyiddin hanya kerana sudah tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Persahabatan kami bukan kerana darjat, bukan kerana pangkat, bukan kerana gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat.


“Kepada Tan Sri Muhyiddin, harapan kami ialah semoga dapat terus bersama mendukung perjuangan Umno, memperbaiki bangsa dan agama,” katanya.


Selain itu, beliau berkata, Umno Johor percaya Presiden parti mempunyai jawapan untuk pencerahan bagi menyelesaikan semua kemelut bangsa dan negara.


“Berilah jalan ke harapan kepada kami, kepada ahli dan kepada Umno. Selamatkanlah Umno dengan mengajak kepada kesatuan dan muafakat bersama.


“Lebih-lebih lagi di Johor, ia lahir di sini. Ia dibentuk, diasuh, ditatang dan didewasakan di sini, Dan kami tidak akan sekali-kali membenarkan ia dikebumikan di sini.


“Dalam setiap saraf dan titik darah, di dalam batang tubuh kami di Johor ini, plateletnya Umno dan DNAnya juga, tanpa ragu adalah Umno dan selama ini pun, Johor adalah benteng Umno paling kuat,” katanya.


Mohamed Khaled berkata, Umno Johor akan melakukan apa sahaja untuk membantu Presiden Umno bagi memastikan parti keramat orang Melayu itu terus berkelangsungan.