SUNGAI PETANI - Bekas pimpinan Pas yang bertindak menubuhkan Harapan Baru mengakui masih sayang kepada parti itu.

Oleh itu, mereka tidak mahu bermusuh dengan parti Islam itu kerana sudah lama berkhidmat dengannya.

Bekas Ketua Muslimat Pas Pusat, Jamilah Ibrahim berkata, tindakan mereka menubuhkan parti baharu adalah untuk meneruskan kesinambungan perjuangan gerakan Islam.

“Saya sudah 30 tahun berkhidmat dalam Pas tetapi dalam keadaan sekarang kita tidak bermusuh dengan Pas.

“Kita sayang Pas dan tidak memusuhi mereka. Tapi kita kecewa apabila sudah hampir untuk mencapai ke Putrajaya, pimpinan tertinggi buat keputusan yang kita sendiri tidak mampu ikut,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Harapan Baru peringkat negeri di Dewan Hock Teik Soo, Sungai Lalang, di sini, malam tadi.

Disebabkan keputusan itu, beliau berkata, beberapa pimpinan Pas bertindak menubuhkan parti baharu untuk meneruskan perjuangan bersama PKR dan DAP.

“Saya akui kita tidak boleh bersendirian kalau nak berlawan dengan BN. Saya harap pimpinan dan ahli Pas tidak marah kepada Harapan Baru.

“Kami akan bersatu untuk tumbangkan Umno dan BN. Kita akan pastikan juga semua rakyat Kedah bersama parti baharu ini menjelang PRU14,” katanya

.