ALOR SETAR - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kesal tindakannya makan dalam gerabak Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) baru-baru ini, menjadi viral dan dijadikan modal politik pihak tertentu mengaitkan dirinya sebagai pemimpin tidak wajar diteladani.

Mengulas perkara itu, katanya, ia bukan disengajakan, sebaliknya mendapat kebenaran daripada pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad.

“Saya dalam perjalanan menaiki ETS dari stesen KL Sentral ke Ipoh. Bagaimanapun, gerabak yang ada kafe rosak dan digantikan gerabak lain, di mana dibenarkan makan di situ.

“Saya lapar, jadi saya makanlah. Lagipun saya tidak sepah sampah dan dapat kebenaran. Gambar yang menjadi viral itu bukan isu pun,” katanya.

Difahamkan, gambar Wan Azizah sedang makan nasi lemak dalam ETS disebarkan melalui laman sosial dan ada pihak mempertikaikan tindakannya itu berikutan peraturan dalam gerabak tidak membenarkan makan dan minum.‎