Menurut beliau, setiap pihak perlu mendengar hujah yang diutarakan oleh kedua-dua pihak dalam menyampaikan pandangan mereka berhubung isu yang dibahaskan tersebut.

“Apabila mendengar hujah, ia melambangkan kita merupakan seorang yang matang dalam menilai pandangan setiap pihak.

“Hatta pada zaman Nabi pun mereka berhujah. Jadi, setiap yang mendengar akan menilai sendiri berdasarkan hujah-hujah yang dikeluarkan oleh kedua pihak tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Selain itu, pengurus dan pengamal perubatan Klinik Syifa’ itu turut berharap agar sesi wacana berkenaan akan dilaksanakan mengikut adab serta sistem yang bersesuaian dalam mencari kebenaran.

Beliau berkata, penganjuran wacana berkenaan wajar dijalankan secara terbuka memandangkan isu berkenaan telah meledak di dalam negara ini lantas menimbulkan banyak kekeliruan kepada masyarakat.

“Wacana ini wajar diteruskan secara terbuka dalam mencari kebenaran di samping mengukuhkan semula ukhuwah sesama Islam.

"Apabila masyarakat mendengar dari kedua pihak, mereka akan lebih faham di samping terus mencari kebenaran,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Netizen harap pertemuan Zamihan, Asri dapat buka minda]

Kelmarin, Zamihan dilaporkan mencabar untuk mengadakan perdebatan dengan Dr Maza apabila Mufti Perlis itu terus mengaitkan dirinya dengan elemen pro Syiah, ekstremis dan sesat.‎

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menerusi sebuah posting di Facebooknya semalam mencadangkan keduanya hadir dalam satu program wacana bagi menjelaskan dan menjernihkan keadaan.

Cabaran debat itu disahut Dr Maza menerusi sebuah posting di laman Facebooknya dan beliau juga mengaku telah menempah tiket pesawat pada tarikh wacana tersebut diadakan.

Wacana dirancang berlangsung pada Rabu depan di Auditorium ICU, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya yang akan menampilkan Pengarang Astro Awani, Nazri Kahar sebagai moderator.