SPRM: Guan Eng, isteri beri keterangan esok
GEORGETOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan
mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan isteri
Betty Chew esok bagi membantu siasatan berhubung pembelian banglo
bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah Taman Manggis,
Jalan Zainal Abidin di sini.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, Guan Eng dan isteri
dijangka memberi keterangan di pejabat SPRM, Jalan Sultan Ahmad Shah, di
sini kira-kira pukul 9.30 pagi bagi melengkapkan siasatan kes
berkenaan.
"Guan Eng dan isteri akan dirakam percakapan di SPRM Pulau Pinang jam
9.30 pagi esok," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di
sini hari ini.
Beliau berkata sehingga kini 62 saksi telah dipanggil memberi keterangan berhubung perkara itu.
Sebelum ini beberapa pihak termasuk Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno
Pulau Pinang membuat laporan kepada SPRM dan meminta pihak berkuasa
menyiasat pembelian banglo oleh Guan Eng yang didakwa di bawah harga
pasaran dan urusan jual beli tanah Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di
sini.
Pembelian banglo oleh ketua menteri Pulau Pinang itu menjadi
kontroversi apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya
membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat, Mac lepas.
Shabudin, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang,
turut meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian
ke atas hartanah berkenaan.
Shabudin turut meminta SPRM menyiasat penjualan beberapa lot tanah di
Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah
Projek Perumahan Rakyat Termiskin. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment