KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membidas kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang disifatkan terlalu ‘berbangga’ apabila mendakwa Pas tidak akan berjaya menawan Sungai Besar, PRK kali ini.

Menurutnya, sehingga kini, Pas tetap melihat Amanah sebuah parti yang lebih susah untuk mendapatkan perhatian pengundi, terutamanya daripada pengundi Melayu itu sendiri.

“Sama sahaja, Amanah lagi susah (dapat undi). Amanah pasti ke dapat sokongan nanti? Ada jaminan ke dapat sokongan Cina daripada bantuan DAP.

“Amanah kena ingat, pengundi tegar Pas di kawasan tersebut adalah ramai. Kita sudah bertapak, tu perkara penting yang perlu jadi ingatan utama,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, selaras dengan sokongan sedia ada, Pas mengambil pendekatan mudah dengan berkempen cara matang dan sederhana sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika muktamar parti itu baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar itu juga memberitahu, Pas bukan sahaja parti politik, tetapi adalah parti dakwah dan tarbiah yang mengambil pendekatan menepati kehendak al-Quran dan sunnah.

“Mungkin sebelum ini ada yang terlajak sedikit orang kata dalam berkempen, menyerang dan mengkritik yang menampakkan keras, tetapi sekarang ini kita tegur yang mana tidak betul dan kritikan tersebut mestilah berasas dan berfakta.

“Apa yang baik dan sesuai dengan agama kita boleh sokong, itulah yang kita nak fokuskan dalam politik matang dan sejahtera tersebut. Saya rasa benda ini sudah pun dibuat. Kebetulan mungkin pula bulan puasa jadi ia lebih senang lagi lah, memang inilah pendekatan yang kita ambil,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, sejak parti Amanah ditubuhkan, banyak suara-suara daripada ahli Pas yang berhijrah ke parti itu memperlihatkan situasi kurang selesa berada di dalam Amanah.

Mengulas isu tersebut, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan memberitahu, tindakan seolah-olah ‘menyesal’ itu diakui oleh banyak pihak, namun Pas bukan parti pukat jerut untuk ambil balik dengan mudah semua ahli yang berhijrah tersebut.