BUKAN satu tugas yang mudah, malahan meletakkan nyawa di hujung senjata puak Abu Sayyaf, itulah yang dihadapi kumpulan perunding yang membawa kepada pembebasan empat rakyat Malaysia yang diculik kumpulan pemisah sejak April lalu.

Tersilap langkah, bila-bila saja nyawa boleh hilang dek kerana muntahan peluru yang dikeluarkan mereka.
Tetapi dengan penuh tanggung jawab, mereka mengambil tugasan ini sebagai satu cabaran dalam mengembalikan rakyat kita ke pangkuan keluarga.

Tanpa sebarang senjata api, pembayaran pampasan mahupun pertumpahan darah, misi berkenaan berjaya dilakukan.

Hanya doa dan izin ALLAH SWT sahaja menjadi bekal dan semangat kepada mereka.

Berbekalkan pengalaman pernah bertugas dalam pasukan elit VAT69 Polis Diraja Malaysia (PDRM), dia menggunakan kepakaran itu bagaimana untuk mengambil tanggung jawab ini.

Ketika awal pertemuan dengan Sinar Online, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, empat tebusan akan dibebaskan dalam masa terdekat ini.

“Tunggu beberapa hari lagi, kami akan bawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya ketika bertemu Sinar Online baru-baru ini.

Rundingan awal

Halim berkata, pihaknya telah lakukan beberapa sesi rundingan pembebasan mangsa. ”Kita mendapat bantuan yang amat baik dari pemimpin Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF), Nur Misuari.

”Dia mengarahkan pasukannya yang diketuai lima komander untuk mengadakan rundingan dengan puak Abu Sayyaf kerana memandangkan risiko yang amat berbahaya, beliau nasihatkan saya untuk berada di kem MNLF sahaja di Kem Bokud Awal, Inadanan, Jolo,” katanya.

Dalam usaha itu menyelamat empat rakyat Malaysia itu, dua daripada mereka adalah adik beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 34, diculik di perairan Pulau Ligitan, Semporna pada 1 April lepas berjaya dibebaskan.

Tanpa pembayaran tebusan

Lebih menarik, pembebasan mereka tanpa melibatkan sebarang pembayaran kepada puak Abu Sayyaf.
Bercerita lanjut beliau berkata, sebagai langkah keselamatan misi berkenaan juga telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri.

”Saya telah berhubung dengan Nur Misuari pada penghujung Mei lalu bagi meminta bantuan membebaskan empat rakyat kita, syukur beliau setuju dan memberikan nasihat keselamatan kepada saya.

”Saya perlu berada di kem MNLF di Jolo sahaja kerana apa saja boleh berlaku tanpa disangka di Mindanao ini, peperangan, serang hendap dan apa saja kemungkinan boleh berlaku,” katanya yang pertama kali bertemu Nur Misuari awal Februari lalu bagi membincangkan aspek keamanan, perpaduan dan keselamatan di perairan Sabah.

Ketika itu turut membincangkan kes penculikan Bernard Then, jurutera elektrik, Thien Nyuk Fun, pengurus Restoran Ocean King, Sandakan pada 14 Mei 2015.

Bagaimanapun, November lepas Bernard Then telah dipenggal kepalanya oleh puak pemisah, Nyuk Fun bernasib baik apabila dibebas oleh kumpulan penculik itu selepas rundingan antara kerajaan Malaysia dan kumpulan berkenaan.

Tebusan selamat

Katanya, antara yang terlibat dalam rundingan ini adalah Jeneral Sufi (The Lion of Mindanao), Brig Jeneral Tahir yang mengalami kecacatan mata dan tangan akibat pertempuran dan Brig Jen Rene.

”Tahir, Rene dan tentera-tenteranya seramai 70 - 100 yang lengkap bersenjata sahaja dibenarkan melakukan rundingan dengan Abu Sayyaf kerana faktor keselamatan.

“Sebanyak tiga kali pertemuan dengan kumpulan penculik dan mereka melihat empat tawanan kita berada dalam keadaan selamat dan sihat. Abu Sayyaf telah diberikan amaran oleh Nur Misuari agar tidak mengapa-apakan tawanan rakyat kita. Kesemua mangsa telah diberikan makanan dan penjagaan yang baik,” katanya.
Jelasnya, lebih mudah usaha menyelamat ini kerana kebanyakan ahli kumpulan Abu Sayyaf ini mempunyai talian kekeluargaan dengan sebilangan besar MNLF.

“Mereka juga amat menghormati dan takut kepada Nur Misuari yang mempunyai ribuan tentera di seluruh Mindanao.

“Bagaimanapun aspek keselamatan tidak boleh diambil muda, itu tegas Nur Misuari,” katanya.
Ditanya mengenai pembayaran bagi pembebasan mereka, beliau mengakui Abu Sayyaf ada meminta sejumlah wang, mencecah puluhan juta ringgit untuk setiap ‘kepala’.

“Bagaimanapun, itu bukan penyelesaian membebaskan tebusan. Nur Misuari sendiri menegaskan jangan beri sebarang wang pun. Waima satu sen kepada pemisah,” katanya.

Tegas Nur Misuari, masalah penculikan tidak akan selesai di perairan Sabah sekiranya pembayaran dibuat.
“Penculikan akan berpanjangan, pembayaran wang tebusan dan amat menyukarkan MNLF dalam usaha untuk membantu membebaskan tebusan.

“Nur Misuari memberikan contoh beberapa tebusan warga Indonesia yang diselamatkan tanpa sebarang bayaran wang tebusan. Jadi dalam hal ini kami amalkan perkasa sama, saya cuba hubungi keluarga mangsa untuk mengingatkan perkara ini, tapi tidak dapat bercakap dengan mereka,” katanya lagi.

Ujar Halim, walaupun tiada pembayaran dari pihak Malaysia mahupun keluarga, mereka difahamkan terdapat sedikit pembayaran ganti rugi yang dibayar ahli politik tempatan dalam proses pembebasan tanpa pengetahuan Nur Misuari dan beliau.

“Saya melihat pembayaran ini dibuat kerana kebimbangan ahli politik itu dengan lawatan bakal Presiden yang dijadualkan bertemu Nur Misuari dalam masa terdekat di kem MNLF,” jelasnya.

Tawanan dibebaskan

Selepas tiga kali rundingan dilakukan, akhirnya Abu Sayyaf bersetuju membebeaskan tahanan yang ditempatkan hampir 20 kilometer dari kem MNLF, di Jolo.

Kesemua mereka dibawa menggunakan bot laju ke Sandakan oleh pasukan khas MNLF bagi memastikan keselamatan mangsa terjamin pada 9 Jun lalu.