PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui partinya tidak pernah berniat untuk berahsia atau menipu golongan bukan Islam dalam melaksanakan hukum hudud di negara kita, lapor Sin Chew Jit Poh.

Kata Hadi, Rang Undang-Undang (RUU) persendirian yang dibawa Pas adalah hak umat Islam dan ia bukan hak bukan Islam.

“DAP tidak setuju RUU ini dibentangkan kerana ia bukan hak DAP,” kata presiden Pas ini ketika berceramah di Kuala Kangsar, kelmarin.

Beliau menjelaskan demikian bagi menjawab dakwaan oleh ahli-ahli Pas sendiri bahawa partinya tidak akan disokong oleh kaum Cina kerana membentangkan RUU persendirian di Parlimen tidak berapa lama dulu.

“Ada ahli-ahli Pas yang setuju dengan pendapat DAP yang membantah RUU persendirian itu. Akhirnya mereka ini meninggalkan Pas dan menubuhkan Amanah. Pas membiarkan mereka pergi,” katanya.

Kata Abdul Hadi lagi, DAP sebenarnya takut sekiranya hukum hudud dilaksanakan di negara kita, para penyokongnya yang terdiri daripada bukan Islam akan tukar agama untuk menganut agama Islam.

Dalam ucapannya itu, Abdul Hadi menyeru pengundi di Kuala Kangsar supaya memberi sokongan kepada calon Pas, Dr Najihatussaalehah Ahmad di samping akan terus membantah pelbagai isu membabitkan kepentingan seperti 1MDB dan rasuah.

Menurut Presiden Pas ini, Pas membantah dasar yang boleh merugikan rakyat, sebaliknya dasar yang baik seperti membantu golongan miskin tetap akan disokong.

Beliau turut menyindir Amanah yang bekerjasama dengan DAP sentiasa membantah apa juga dasar yang dilaksanakan kerajaan sama ada baik atau tidak.

Sementara itu, MCA mencabar DAP mengakui apakah benar parti pembangkang itu telah memperkuatkan Pas dalam PRU lalu.

Pengerusi Biro Undang-Undang Syariah dan Unit Khas Pelaksanaan Polisi MCA, Gan Ping Sieu dalam satu kenyataannya berkata, beliau berharap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dapat menerima cabarannya untuk berdebat mengenai isu berkenaan.

Kata Gan, Liew cuba menafikan kenyataan kononnya dalam PRU lalu, Pas telah semakin lemah setelah kehilangan dua kerusi parlimen, iaitu daripada 23 berkurangan kepada 21 kerusi.

“DAP sebenarnya telah membantu Pas mengembangkan kekuatannya. Walaupun Pas telah hilang dua kerusi Parlimen, namun dalam kerusi Dun, Pas telah menambahkan jumlah kerusinya, iaitu sebanyak empat.

“Apa yang lebih penting lagi ialah Pas telah berjaya meluaskan pengaruhnya yang sebelum ini hanya bertapak di sebelah Pantai Timur sahaja. Pas telah menambahkan satu kerusi Dun masing-masing di Pahang dan Melaka.

“Manakala di Johor, Pas telah berjaya menambahkan dua kerusi Dun dan tujuh kerusi Dun di Selangor sehingga menyebabkan Pas menjadi sebuah parti yang meliputi di seluruh negara,” kata Gan.

Kata Gan lagi, dalam PRU lalu, Pas kehilangan undi Melayu di beberapa buah negeri namun parti itu memperolehi undi yang banyak daripada pengundi Cina.

Tegas Gan lagi, bukan Islam tidak menunjukkan sifat syak wasangka terhadap Pas kerana pemimpin-pemimpin DAP sebelum ini memberi jaminan bahawa Pas telah pun tidak berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud di negara kita.

“Jelas sekali, DAP ketika itulah yang tidak cuba menghalang Pas sebaliknya membantu parti itu untuk melaksanakan undang-undang Islam itu,” katanya.