Wang tebusan: Keluarga mangsa culik tertekan
BERIKUTAN kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid
Abu Bakar bahawa tiada wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan
militan Abu Sayyaf untuk membebaskan empat rakyat Malaysia yang diculik
dari perairan antarabangsa di luar Pulau Ligitan, 1 April lalu, keluarga
mangsa culik terbabit kini dalam keadaan tertekan.
Ahli-ahli keluarga mangsa culik memberitahu sebenarnya wang tebusan
yang diperolehi hasil sumbangan orang ramai telahpun diserahkan kepada
pihak polis.
Sin Chew Jit Poh melaporkan, ibu saudara kepada salah seorang mangsa,
iaitu Johnny Lau Jung Hien, 21, berkata, sekiranya polis tidak ingin
mengumumkan mengenai wang tebusan itu, ahli-ahli keluarga mangsa culik
ini akan mengadakan sidang akhbar sedikit masa lagi supaya dapat
memberikan penjelasan kepada orang ramai yang banyak menyumbangkan wang
derma kepada mereka.
Ahli keluarga ini tetap menegaskan sekiranya tiada wang tebusan
diberikan kepada pihak pengganas itu, keempat-empat mangsa culik itu
tidak mungkin dapat dibebaskan dengan begitu senang.
Difahamkan, kebanyakan hasil derma adalah datang dari penduduk Sibu,
Sarawak dan beberapa negeri lain di seluruh negara. Tidak ketinggalan,
keluarga mangsa turut mendapatkan bantuan wang dari negara China dan
beberapa buah negara asing.
Selain JungHien, mangsa-mangsa culik lain ialah adik beradik Wong Teck
Kang, 31, dan Wong Teck Chi, 29 dan rakan sekerja Wong Hung Sing, 34.
Khalid sebelum ini berkata, keempat-empat tebusan itu dibawa pulang ke
tanah air oleh Unit Tindakan Khas (UTK) selepas dibebaskan tanpa
sebarang pembayaran wang tebusan.
Khalid berkata, beliau sendiri tidak tahu tentang wang tebusan.
“Kita tidak ada membuat sebarang bayaran..tanyalah pada keluarga mangsa,” katanya.
Beliau berkata, apa yang penting mangsa dalam keadaan selamat dan
bagaimana kita lakukan itu terserah pada PDRM. Cuma diingatkan agar
masyarakat memberi kepercayaan dan keyakinan dalam polis mengendalikan
perkara demikian.
Katanya, perkara ini tidak boleh didedah kerana ia akan melibatkan kesukaran kepada pihaknya.
Kumpulan penculik difahamkan pada mulanya meminta wang tebusan sebanyak
300 juta peso (kira-kira RM30 juta) sebelum mengurangkan kepada 180
juta peso (kira-kira RM18 juta) untuk pembebasan empat pemuda dari Sibu
itu.
Sebaik sahaja dibebaskan, empat tebusan itu dilaporkan menaiki bot selama lapan jam dari Jolo ke Sandakan.
Manakala China Press pula melaporkan, seorang lagi keluarga JungHen
memberitahu, mereka akan menjelaskan kedudukan sebenar mengenai
sumbangan wang tebusan itu sebaik sahaja JungHen selamat pulang ke
pangkuan keluarga di Sibu.
"Pihak keluarga kami akan meminta nasihat daripada pihak polis untuk
menguruskan hal ini. Selepas JungHeng pulang, kami akan bincang semula,"
katanya.
Akhbar ini melaporkan, jumlah sebenar wang tebusan yang dibayar kepada
kumpulan militan Abu Sayyaf untuk membebaskan keempat-empat mangsa culik
itu masih meninggalkan tanda tanya.
Sejak tahun 2000, lebih kurang 10 kes penculikan dilaporkan berlaku di
sekitar kawasan perairan Sabah. Daripada semua kes berkenaan, pihak
polis tidak pernah memberikan maklumat mengenai jumlah wang tebusan yang
diberikan kepada penculik.
Malah, pihak berkuasa tidak akan memberitahu dan mengakui mengenai
pembayaran wang tebusan. Hal ini sebenarnya telah bukan jadi rahsia lagi
kepada ramai orang. Sekiranya jumlah wang tebusan diberitahu secara
umum, sudah pasti ia akan memberikan gambaran negatif kepada pihak
berkuasa.
Oleh itu, akhbar ini menulis, semua pihak perlu menerima hakikat mengenai kenyataan Ketua Polis Negara itu.
0 orang berkata:
Post a Comment