KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan setakat pukul 6 petang ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik perlahan di Terowong Menora ke Kuala Kangsar, Bukit Tinggi menuju ke Genting Sempah dan ke Plaza Tol Gombak dari arah Kuala Lumpur.

Sementara itu Jurucakap Plus Malaysia Berhad berkata trafik perlahan di Ayer Keroh menuju ke Jasin dan Tangkak.

"Selain itu, trafik juga dilaporkan perlahan dari Kulai menuju ke arah Sedenak disebabkan jumlah trafik tinggi," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama