SHAH ALAM – Polis DiRaja Malaysia (PRDM) hari ini menafikan pihaknya mengeluarkan amaran ancaman bom di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebaran maklumat seperti yang didakwa didalangi individu yang tidak bertanggungjawab berniat untuk menakutkan orang ramai.

Khalid menerusi muat naik status di Facebooknya turut memaparkan mesej palsu berupa amaran kepada orang ramai terhadap beberapa lokasi pusat beli-belah dan tumpuan di ibu negara dan Selangor.

Antara lokasi yang disenarai mempunyai ancaman bom termasuk pusat beli-belah The Curve dan Publika, Bangsar, Bukit Bintang, Hartamas, serta Menara Kuala Lumpur.

Lain-lain lokasi termasuk stesen-stesen LRT, pusat beli-belah Menara Berkembar Kuala Lumpur, Mid Valley, Pavilion serta Jalan Aloy dan Petaling Street.

Mesej tersebut turut mendakwa salah satu lokasi yang disenaraikan bakal menjadi sasaran serangan kumpulan militan IS seterusnya.

“Ini (mesej ini) bukan daripada pihak PDRM,” katanya seperti yang dipetik menerusi laman akaunnya, hari ini.