KLANG - Seramai 18 orang penghuni termasuk seorang kanak-kanak terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan selepas mengalami sesak nafas ekoran daripada kejadian kebakaran melibatkan dua buah stor barangan plastik di Taman Sri Andalas hari ini.

Selain itu, kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 11 pagi tersebut turut mengakibatkan kemusnahan lima buah kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan premis berkenaan.

Pemangku Ketua Zon Bomba Klang, Penguasa Bomba Amer Haizal Sahak berkata, seramai 30 orang anggota terdiri daripada pegawai bersama empat jentera dari Balai Bomba Sungai Pinang telah dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengawal api kebakaran tersebut.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, pemeriksaan mendapati api marak di bahagian depan stor itu dan mula merebak ke tingkat atas.

“Memandangkan premis masih terbakar dan asap tebal, anggota terpaksa menggunakan tangga untuk membawa keluar 18 orang penghuni yang menetap di tingkat atas premis yang terbakar tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Amer memaklumkan bahawa anggotanya berjaya mengawal api kebakaran daripada merebak sekitar jam 11.45 pagi tadi

Tambah beliau, kesemua mangsa terlibat telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.