Kawasan Cina tidak menang, kawasan Melayu juga kalah
SHAH ALAM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegur
kegagalan Umno memenangi kerusi Dun dan Parlimen di Shah Alam pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, meskipun kawasan ini 70.46
peratus pengundinya kaum Melayu.
Beliau menyifatkan sokongan yang diterima pembangkang menunjukkan rakyat memberi isyarat mereka berkuasa melalui undian.
“Anjakan sokongan rakyat di Shah Alam kepada pembangkang secara
konsisten hingga mengakibatkan majoriti (undi) turun kepada 10,959 pada
PRU13 adalah merupakan satu manifestasi betapa golongan yang lemah atau
masyarakat awam betul-betul menunjukkan kuasanya kepada golongan yang
kuat. Mereka menunjukkan bahawa mereka mampu menunjukkan kuasa. Kuasa
apa? Kuasa rakyat.
“Sebab apa? Kita kurang mengambil peduli. Bukan salah kepimpinan dulu,
bukan salah kepimpinan sebelum-sebelum itu. Sebab nilai telah berubah.
Oleh sebab itu, kita harus ubah kaedah pendekatan kita. Kita jangan
mudah menyalahkan orang lain. Perkhidmatan berbeza mengikut lokasi dan
situasi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian
Shah Alam, di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau menyeru kepada seluruh perwakilan Umno Shah Alam
agar bangkit merampas kembali kerusi-kerusi tersebut dalam pilihan raya
akan datang.
“Shah Alam sebuah perkampungan dan kawasan perladangan sebelum ini
menjadi kawasan yang dipanggil bandar raya sekarang. Semakin maju
sesuatu kawasan itu, semakin kalah kita.
“Sudahlah kawasan yang diduduki orang Cina, memang tidak pernah
dimenangi oleh pemimpin Melayu. Ini sudah tentu kawasan Melayu, kalah
juga Umno. ‘Something wrong somewhere’,” katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak pernah melupakan pengundi dan penduduk di kawasan bandar termasuk di Shah Alam.
“Dari segi infrastruktur, kawasan bandar pelbagai peruntukan kita
curahkan. Kemudahan sosial di bandar dicurahkan segala-galanya tanpa
melupakan yang di luar bandar. Kemudahan telekomunikasi dan struktur
yang lain...(diberikan) kawasan bandar tapi apa harga yang dibayar oleh
kerajaan? Kita kehilangan kerusi-kerusi di kawasan bandar.
“Kenapa ini berlaku? Adakah salah kerajaan memberikan peruntukan yang
banyak? Adakah kesalahan kepimpinan Umno yang mengambil kepedulian
tetapi tidak dapat dirasa oleh kumpulan sasaran? Adakah salah masyarakat
yang terdedah dengan sistem komunikasi dengan langit terbuka dan langit
tanpa sempadan?
“Kita tetap salahkan orang lain. Muhasabahlah. Kita bertanggungjawab
dalam keadaan apa pun membetulkan keadaan terutama kita dlm Umno, BN
orang tetap salahkan kita. maka kita kena bangkit memperbetulkan keadaan
itu. Ambillah kepedulian kepada masyarakat keseluruhan,” katanya.
Beliau juga berpesan agar pemimpin hari ini tetap merendah diri tidak mendabik dada apabila mendapat jawatan.
“Ini sebelum ada jawatan, rumah kecil. Sudah ada jawatan, tukar rumah
besar. Dulu kereta kecil, sudah ada jawatan, tukar kereta besar. Ini
perubahan yang dipanggil ‘vertical mobiliti’.
“Cukuplah...orang kenal dulu kita siapa. Jangan ubah sikap, jangan ubah
cara di mana pun kita duduk, itulah cara kita. Kita hendaklah menjadi
padi, makin tunduk bila berisi. Bagi orang sayang pada kita,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment