Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

RAMAI-RAMAU PERINTAH


Arena politik Malaysia makin 'sesak'
Analisis
 
ARENA politik Malaysia menjadi semakin "sesak" berikutan kewujudan Parti Amanah Negara (Amanah) dan yang terkini, Parti ‎Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selain kemunculan perikatan baharu antara Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Persoalannya, mampukah parti-parti tersebut melakar kedudukan dalam senario politik Malaysia?
Bersatu, yang ditubuhkan pada awal bulan ini, diterajui oleh bekas pemimpin Umno manakala Amanah yang ditubuhkan pada September tahun lepas pula adalah parti serpihan Pas yang diketuai oleh bekas pemimpin parti itu.

Menariknya, Amanah bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membentuk Pakatan Harapan manakala Pas membentuk pakatan dengan Ikatan yang dipanggil Gagasan Sejahtera.

Bolehkah mereka, suatu hari nanti, menjadi satu kuasa yang kuat dalam pakatan pembangkang, yang hakikatnya kini berpecah-belah?

Tidak ramai yang percaya bahawa parti-parti tersebut mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi satu kuasa politik yang disegani.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker menyifatkan parti-parti baharu itu sebagai "acuan yang sama dalam gelas yang baharu".

"Mereka tidak boleh dianggap serius. Apa yang dapat dilihat adalah parti-parti ini hanya mencari peluang untuk memecah-belahkan lagi sokongan pengundi, tetapi tidak sampai ke tahap kuasa ketiga," katanya.

Beliau berkata dalam usaha untuk menjadi "Kuasa Ketiga", parti-parti baharu perlu menjadi “sesederhana mungkin” tetapi pemerhatian beliau mendapati, keadaan sebaliknya berlaku di mana objektif parti-parti tersebut lebih menjurus kepada keagamaan dan perkauman.

"Kami fikir Amanah boleh mengatasi para penyokong Pas dengan pendirian sederhana mereka.

"Namun, ternyata pakatan Amanah dengan DAP dan PKR tidak berjaya memujuk DAP untuk mengambil pendirian yang lebih sederhana. Sebaliknya, ia (DAP) menjadi lebih ekstrem sekarang,” katanya.

Menyifatkan senario politik semasa sebagai “penuh kekeliruan", Ti berkata parti-parti dan pakatan baharu dilihat sebagai "boneka semata-mata", dengan Pas‎

menggunakan Ikatan untuk menarik pengundi; Pribumi menyasarkan kumpulan serpihan penyokong Umno; dan Amanah pula cuba mendapatkan penyokong Pas.

Beliau berkata Parti Pribumi dan Amanah diwujudkan berikutan reaksi spontan sesetengah ahli politik yang kecewa dengan parti lama mereka.

"Parti-parti ini wujud bukanlah kerana aspirasi negara. Apa yang diperlukan ialah satu barisan yang berdaya maju dan kukuh ... setakat ini, Pakatan ‎(Harapan) dan Gagasan (Sejahtera) dilihat masih tidak mampu berbuat demikian," katanya.

Pemerhati politik, bagaimanapun, berpendapat masih ada harapan jika parti-parti atau pakatan baharu itu boleh memupuk persefahaman antara mereka.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, ‎ Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata kumpulan politik baharu boleh menjadi pilihan alternatif yang berdaya maju jika mereka boleh menawarkan sesuatu yang berbeza dan tidak diberikan oleh parti seperti Umno, DAP atau PKR.

"Jika mereka mempunyai visi yang jelas dan kepintaran yang tepat, mereka boleh menarik pengundi atas pagar. Tetapi parti-parti ini perlu membuktikan bahawa mereka boleh bersatu dalam barisan pembangkang,” tambah beliau.

Dalam ulasan yang diterbitkan oleh The Straits Times Singapura pada Isnin, Dr Farish A. Noor, seorang profesor madya di Rajaratnam School of International Studies di Nanyang Technological University di Singapura, berkata agak sukar bagi mana-mana parti baharu untuk bertapak dan mendapat sokongan di Malaysia tanpa memancing penyokong parti lain.

"Arena politik Malaysia kekal sebagai ruang yang menarik bagi mereka yang ingin melibatkan diri dalam politik.

"Tetapi parti serpihan dan kemunculan parti baharu juga akan menyumbang kepada perpecahan undi dalam mana-mana pilihan raya akan datang, menjadikannya lebih sukar untuk meramal keputusan pertandingan politik di kedua-dua peringkat iaitu negeri dan persekutuan," katanya dalam komentar tersebut. - Bernama

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.