Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

GEMPAAAAAAQ ! MANA-MANA PERGI ORANG BERKATA BERSATU, ISHH, UMNO MULA PENING !!!


Kuat sangatkah Bersatu?
Kuat sangatkah Bersatu?
SUDAH lebih seminggu Muhyiddin Yassin hantar borang  mohon untuk mendaftar partinya, Bersatu. Setakat ini, belum ada apa-apa perkembangan mengenai perkara itu diumumkan.

Pendaftar Pertubuhan atau ROS adalah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Menterinya, Ahmad Zahid Hamidi adalah juga Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno.

Dalam urusan pendaftaran parti politik, kita tidak seperti Britain di mana urusan itu tidak diletak di bawah bidang kuasa ROS atau mana-mana kementerian. Yang terima pendaftaran, mengendalikan dan memantau pentadbiran parti-parti politik di negara itu adalah Suruhanjaya Pilihan Raya United Kingdom. Sistem ini menjamin pentadbiran yang lebih telus dan meyakinkan rakyat.

Meskipun belum diluluskan, cakap-cakap mengenai Bersatu sudah heboh di sana sini. Ucapan pemimpin BN seperti tidak sah jika tidak menyerang parti itu. Media juga membangkitkan pelbagai isu termasuk logo Bersatu  yang dikatakan mirip logo sebuah klinik kosmetik. Oleh kerana logonya yang demikian, parti itu diramalkan tidak mampu bertahan lama, akan ‘bungkus’ dan tidak mendapat sokongan.

Termasuk yang menyerang parti itu adalah mereka yang mengambil kesempatan untuk ‘menyucikan diri’ dengan membuat kenyataan menghentam parti yang belum pun lahir itu kerana dalam keadaan sekarang, peluang untuk kenyataan mereka disiarkan adalah cerah. 

Inilah masanya untuk menagih perhatian  oleh mereka yang dahulu pernah berlindung di bawah ketiak pemimpin yang kini adalah pemimpin Bersatu.   

Kuat sangatkah parti baharu itu hingga sekalian orang yang berkuasa ketakutan? Atau, mereka telah dipengaruhi oleh nujum-nujum politik yang berkeliaran untuk mendapatkan imbuhan?

Hakikatnya, tidak!

Apa yang mereka takutkan itu sebenarnya tidaklah sekuat mana. Tidak percaya?
Jika diluluskan, Bersatu akan masuk bertanding PRU14 sebagai satu daripada parti pembangkang yang menentang BN.

Kenyataan ini sahaja sudah cukup untuk dijadikan gambaran mengenai  PRU14, jika pilihan raya itu diadakan sekarang.

Ada kemungkinan Bersatu akan menyertai koalisi Pakatan Harapan. Sama ada diterima atau tidak, itu cerita lain tetapi melihat pada senario semasa, Pas hampir pasti tidak akan bergabung dengan mereka.

Itulah yang akan menjadi variable politik tanah air pra dan pasca PRU14.

Apabila Pas tidak  bersama dengan Pakatan Harapan,  akan berlaku pertembungan calon pembangkang terutama di kawasan majoriti Melayu. Perpecahan undi dengan sendirinya akan melemahkan pembangkang sekali gus menyempitkan peluang mereka untuk menang  sebagaimana yang diperlihatkan pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun lalu.

Jika pada masa itu, pertembungan hanya melibatkan Pas dengan Amanah, bagaimana pula pada PRU14?

Ada kemungkinan episod yang sama akan berulang malah melibatkan parti-parti lain juga.
Sanggupkah PKR menyerahkan kerusi mereka kepada Bersatu?

Adakah Amanah juga sedia untuk beralah sedangkan ini kali pertama parti itu bertanding pilihan raya umum atas tiket sendiri?

Isu kerusi adalah perkara paling sensitif dalam koalisi parti-parti politik. Inilah masanya untuk pemimpin parti memberi ‘reward’ kepada pamimpin atau ahli di peringkat akar umbi bertanding sebagai calon pilihan raya atas perjuangan dan khidmat yang telah mereka berikan.

Kerana itu, mengalah atau menyerahkan peluang bertanding kepada parti lain walau bagaimana eratnya hubungan dalam koalisi, adalah tindakan yang akan menghancurkan pengaruh seseorang pemimpin.

Bersatu sebagai parti yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, dan pengerusinya pula adalah bekas Perdana Menteri tidak mungkin akan bersetuju untuk bertanding hanya di kerusi ‘perca’ dengan bilangan yang sekadar ada.

 Muhyiddin sudah tentu mengharapkan untuk partinya dominan dalam pakatan pembangkang bagi menyiapkan diri mengetuai kerajaan jika ditakdirkan menang.

Untuk jadi dominan, harus bertanding paling banyak kerusi dan mesti menang paling banyak kerusi juga. Maka bilangan kerusi yang ditandingi termasuk memilih hanya yang berpotensi , harus dicatur secara strategik.

Untuk itu,  perlu ada pihak yang sanggup berkorban dan sebagaimana yang telah dinyatakan, itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Hingga selesai PRU14, dijangka tidak ada persempadanan semula oleh SPR untuk membolehkan kawasan pilihan raya yang baharu diwujudkan. Justeru, dengan saiz kek yang tidak berubah sedangkan orang yang mahu makan bertambah, ia menghadapkan parti-parti pembangkang pada masalah yang tidak mudah untuk ditangani sebenarnya.

Kemunculan Bersatu boleh dikira kena dengan masa, ketika rakyat berkeluh kesah dengan pelbagai isu yang melingkari segenap aspek kehidupan mereka.

Dengan Vow Factor  yang ada, ia setidak-tidaknya menjanjikan sedikit harapan untuk parti itu mendapat ruang pada pilihan raya akan datang.

 Bagaimanapun isu-isu persepakatan dalam kalangan parti pembangkang termasuk Pas jika tidak diselesaikan segera, boleh menjejaskan peluang yang sudah sedia terhidang.

Halangan terbesar dalam hubungan Pas dengan pakatan pembangkang ialah konfliknya dengan  Amanah dan DAP. Pas tidak mungkin akan setuju jika diminta untuk berdamai dengan kedua-dua parti itu. Di sinilah Muhyiddin perlu bijak memainkan peranan, setidak-tidaknya membawa mereka ke meja rundingan bagi memastikan tidak berlaku pertembungan sesama calon pembangkang.

Hanya Muhyiddin satu-satunya pemimpin yang ‘paling boleh’ menjalankan usaha itu. Pemimpin PKR sudah tidak boleh lagi diharapkan setelah mereka gagal melakukannya  ketika PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Malah isu yang membelit hubungan Pas - PKR sejak itu, sebaliknya kian melebar.

Tempoh masa yang berbaki hanya dua tahun sebelum PRU14 memerlukan usaha ke arah itu dilakukan segera. Namun ia tidak mungkin boleh dilakukan oleh Muhyiddin selagi partinya sendiri belum diluluskan!

Pas juga pada masa ini masih begitu ‘jauh’ dengan Mahathir, pemimpin de facto Bersatu. Selain kenyataan Mahathir menuduh pemimpin Pas makan  ‘dedak’ diberikan PM Najib, keadaan diburukkan lagi dengan apa yang disebut oleh Musa Hitam bahawa dia selama ini dijadikan ‘kambing hitam’  dalam isu berkaitan Peristiwa Memali.

Sama ada benar atau tidak dakwaan Musa, itu cerita lain tetapi kenyataannya memburukkan lagi persepsi pemimpin dan ahli Pas terhadap Mahathir.

Muhyiddin sendiri, meskipun pernah menduduki kerusi Timbalan Perdana ,  pernah jadi Menteri Besar Johor, bukanlah seorang ahli politik yang berupaya untuk menarik kerumunan orang seperti Mahathir dan Anwar Ibrahim.

Walaupun tidak dinafikan dia ada kelebihannya tersendiri terutama ketika berada dalam kerajaan, keperluan untuk menghidupkan parti yang masih baharu menuntut lebih daripada itu.

Muhyiddin adalah model pemimpin dari era terdahulu, yang berjuang atas dasar ikhlas dan bertanggungjawab, berupaya untuk membuat keputusan secara bebas dan tidak terikat dengan elemen yang berada di luar lingkaran itu.

Bagaimanapun dalam dunia politik hari ini, karisma yang ada pada Muhyiddin masih  tidak mencukupi. Itulah juga sebabnya mengapa dia tidak begitu dipertahankan apabila dikenakan hukuman, malah dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Muhyiddin, seperti juga Mukhriz Mahathir  adalah contoh pemimpin yang baik. Mereka juga boleh dikira popular dalam kalangan akar umbi tetapi populariti mereka tidak menjangkau jauh dalam lingkaran politik.

Apa yang dikhuatiri jika kedua-dua pemimpin ini masih terbawa-bawa dengan gaya elitis politik  setelah begitu lama berada dalam parti kerajaan. Untuk memperjuangkan sebuah parti baharu, mereka seharusnya sedia untuk turun padang bergelumang dengan penyokong bawahan  seperti yang dilakukan Anwar.

Gaya pembangkang sangat jauh bezanya dengan memimpin parti kerajaan.

Dalam keadaan ini, aura Mahathir semata-mata sudah tidak boleh diharapkan. Dalam usia yang begitu lanjut dan baru sahaja keluar dari hospital, keupayaannya untuk berpolitik sudah begitu terhad.

Paling perlu bagi pemimpin Bersatu adalah  menjuarai usaha mendekatkan semula Pas dengan parti-parti  pembangkang yang lain, perlu ada hanya satu koalisi yang benar-benar ampuh untuk menumbangkan BN.

Jika tidak, BN akan terus berkuasa selepas PRU14, bukan kerana parti itu kuat tetapi rakyat keliru melihat perpecahan pembangkang.
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.