SHAH ALAM - Bajet 2017 adalah untuk kesejahteraan rakyat melalui beberapa peruntukkan yang mampu meringankan beban kerajaan. Tiada kenaikan kadar peratusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sikit sebanyak meredakan kegusaran dalam kalangan rakyat. 

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, melalui Bajet 2017 ini, rakyat boleh merancang kewangan untuk mendepani 2017, yang bakal menjelma tidak lama lagi. 

[ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2017 dibentang PM]

"Dengan keadaan ekonomi industri minyak yang tidak stabil, harga rumah yang begitu tinggi serta isu kos sara hidup yang semakin meningkat, Bajet 2017 dilihat memberi sedikit sokongan bantuan dan perlindungan bagi mendepani 2017 yang dijangka lebih mencabar," katanya kepada Sinar Harian. 

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan Bajet 2017 menjurus kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan pelbagai kemudahan diberikan seperti pinjaman perumahan dinaikkan dan sebagainya, tetapi jika pendapatan di tahap lama, serta kos barang masih tinggi, susah untuk rakyat menggunakan kemudahan yang disediakan.

Beliau berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika dilihat dari sudut positif, ia akan menghasilkan natijah positif dan begitulah sebaliknya. 

Menurutnya, penerusan BR1M bagi mereka yang betul-betul layak menerima adalah sesuatu yang amat baik kerana ia mengurangkan bebanan kewangan mereka dan lebih penting BR1M perlulah dibelanjakan dengan cara berhemah.

"Jika ini berjaya dilaksanakan, ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi setempat kerana wujudnya kuasa beli. Namun, jika disalah guna maka ia sudah tersasar matlamat asal BRIM itu sendiri. Sebab itu saya berpandangan, mereka yang mendapat BRIM perlu berbelanja secara berhemah mengikut keutamaan keperluan keluarga," katanya.

Selain itu, diskaun 15 peratus ke atas baki hutang untuk penyelesaian penuh ke atas Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah sangat baik, malah lebih tinggi dari untung yang diberikan oleh ASB-i. 

"Jadi saya seru kepada graduan bekerja rebutlah peluang ini kerana ia sangat baik dan akan membantu mereka mengatur perancangan kewangan dengan lebih baik di tahun depan," katanya. 
Selain itu, sejumlah peruntukkan yang besar ke atas biasiswa akan memberi motivasi kepada rakyat dan masa depan mereka terjamin. 

"Ini usaha terbaik dalam memastikan rakyat mempunyai daya intelektual yang tinggi kelak, seterusnya mampu memberi nilai tambah yang positif kepada negara pada masa depan. 

"Diharapkan dengan peruntukan itu ia  memacu negara ke arah mencapai Tranformasi Nasional 2050," katanya.

Tambahnya, sebagai warga pengajar di institusi pendidikan awam (IPTA) yang telah berkecimpung dengan dunia akademik lebih 15 tahun, peruntukan RM100 juta untuk IPT bagi membudayakan penyelidikan serta meningkatkan bilangan penerbitan dan harta intelek cukup dinanti-nantikan. 

"Peruntukan sebanyak itu penting untuk IPT bagi memastikan kelangsungan warga pensyarah agar sentiasa berusaha ke arah membudayakan penyelidikan serta meningkatkan bilangan penerbitan dan harta intelek,"katanya. 

Selain itu katanya, RM300 juta untuk lima universiti yang bertaraf universiti penyelidikan merupakan satu jumlah yang agak besar. 

"Universiti-universiti tersebut perlu melipatgandakan usaha agar pemerkasaan institusi masing-masing terserlah pada 2017. Misalnya, memastikan kedudukan (rangking) terletak antara 10 universiti terbaik di dunia melalui hasil penyelidikan dan penemuan baharu yang berjaya dikomersilkan ke serata dunia," katanya.              

 Pengenalan kad debit kepada pelajar IPT bagi menggantikan baucar buku adalah langkah berkesan mengelak berlaku ketirisan dalam kalangan pelajar. 

"Penggunaan kad debit ini dilihat amat baik kepada kerajaan kerana ia telah menjimatkan kos untuk mencetak baucar berbentuk kupon. 

"Ia juga membolehkan pihak kerajaan melalui institusi tertentu mengawal selia penggunaan perbelanjaan pelajar terhadap sejumlah debit yang diberikan agar objektif pemberian baucar melalui kad debit ini capai sasaran," katanya.