Tun M: 'Gelarlah saya apa pun'
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap
pelbagai gelaran buruk yang diberikan kepadanya tidak dapat menutup
dakwaan kesalahan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mahathir berkata, sebaliknya tindakan itu menunjukkan kemampuan jurucakap kerajaan Najib amat terhad.
“Apabila didedah bukti berkenaan rasuah, pencurian wang kerajaan dan
salah guna kuasa, jawapan yang diperoleh daripada anggota Kabinet,
kleptokratiknya terhad kepada memberi gelaran kepada saya. Memanggil
saya antik, boneka, gimik dan bermacam lagi tidak dapat menutup
kesalahan Najib dan pemerintahannya.
“Tidak dapat menidakkan dakwaan yang Najib memiliki RM2.6 bilion dalam
akaun peribadinya, tidak dapat mempertikai dakwaan Jabatan Kehakiman
Amerika Syarikat (DOJ) yang wang ini datang daripada 1MDB (1Malaysia
Development Berhad), tidak dapat mengembalikan berbilion ringgit yang
dihilangkan oleh 1MDB yang dipimpin Najib, serta mengadakan kerajaan
kuku besi yang ditakrif sebagai kleptokrasi," katanya dalam tulisan di
blognya, semalam.
Menurut Mahathir, beliau langsung tidak kisah dengan gelaran diberikan pemimpin yang mempertahankan Najib.
“Panggillah saya dengan apa nama dan gelaran pun, kebenaran dakwaan
oleh saya tidak terjawab. Kata pepatah Melayu anjing menyalak, bukit tak
akan runtuh.
“Saya terima baik gelaran yang diberi kepada saya kerana ia sebenarnya
adalah pengakuan bahawa segala dakwaan oleh saya dan oleh lain-lain
pihak memang benar dan tidak dapat dinafikan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan
berkata, kehadiran Mahathir ke Parlimen, Selasa lalu tidak ubah seperti
‘membawa kereta antik ke pertandingan litar Formula 1'.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman menyifatkan
tindakan pembangkang menjemput Mahathir ke Parlimen tidak lebih daripada
hanya satu gimik politik pembangkang.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula mendakwa Mahathir kini sudah menjadi boneka kepada DAP.
0 orang berkata:
Post a Comment