Tun M disifatkan hilang rasa malu
KUALA TERENGGANU – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
disifatkan sudah hilang rasa malu apabila segelintir penyokong Pakatan
Harapan tidak dapat menerima beliau dalam pakatan pembangkang itu.
Ini terbukti apabila kehadiran bekas pemimpin negara itu bersama
isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ke Konvensyen Pakatan Harapan
2016, Sabtu lalu bertukar menjadi kecoh dan segelintirnya melaungkan
‘Reformasi’ dan ‘Bebaskan Anwar’.
Bekas Ketua Penerangan PKR Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, keadaan
itu menunjukkan penyokong-penyokong Pakatan Harapan khususnya dari PKR
tidak mampu melupakan apa yang dilakukan Mahathir terhadap pemimpin
mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika zaman pentadbirannya.
“Tun Mahathir seolah-olah tidak tahu arah dia dan sudah tidak ada rasa
malu, akibat hilang pertimbangan sehingga tidak rasa malu.
“Saya dahulu pun pernah berjuang selama lima tahun dalam Keadilan untuk
bebaskan Anwar dan Mahathirlah yang penjarakan Anwar dan Mahathir juga
yang kata Anwar tidak boleh jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana
Menteri.
“Jadi, saya tidak tahu sejauh mana orang mahu percaya kepada Tun
Mahathir...sebahagian ahli PKR tidak setuju dengan Mahathir begitu juga
DAP,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Abu Bakar yang juga Penceramah Umno Terengganu memberitahu bahawa
ahli-ahli Pas juga sudah tentu tidak boleh menerima Mahathir berikutan
banyak perkara berlaku yang menyinggung perasaan orang Pas.
Jelasnya, beberapa isu termasuk tragedi Memali sudah tentu sukar
dilupakan pihak terlibat dan bukan senang untuk memaafkan Mahathir
dengan mudah.
Bagaimanapun katanya, walaupun pendirian politik Mahathir sudah berubah
sehingga mengubah prinsip yang dipegangnya sebelum ini, keadaan itu
belum tentu boleh mengubah pendirian penyokong-penyokong Pakatan
Harapan.
“Kalau kita lihat, Mahathir mahu berarak dengan pembangkang yang lain
sedangkan sebelum ini beliau sendiri marah berdemonstrasi.
“Sebab politik, karakter pun boleh berubah. Dalam hal ini, terserah
kepada orang lain hendak ikut beliau atau tidak. Beliau pun sudah tiada
kuasa, tiada manfaat pada orang Umno,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment