GEORGETOWN - DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar esok di Kuala Lumpur untuk membincangkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya parti itu membuat pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) baharu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun masih belum menerima surat, DAP melihat arahan terbaru ROS itu sebagai satu tindakan yang serius.
Menurutnya, pihaknya perlu meneliti isi kandungan surat rasmi daripada ROS kepada DAP terlebih dahulu, sebelum menentukan tindakan yang akan diambil parti.
[DAP perlu adakan pemilihan semula CEC: ROS]

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan pengiktirafan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di ‘The Majestic Theatre’ di sini hari ini, beliau  berkata keputusan muktamad akan dibuat oleh CEC dalam mesyuarat esok namun ia tertakluk kepada kandungan surat rasmi daripada ROS.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah meminta DAP supaya mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC kerana ROS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 Sept 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut Mohammad Razin, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Dis 2012, yang melibatkan seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, turut mengakui bahawa keputusan ROS itu akan menjejaskan persiapan dan persediaan DAP dalam menghadapi pilihan raya umum.

Katanya DAP berasa amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh ROS hari ini oleh kerana pemilihan CEC parti itu berlangsung hampir empat tahun lepas namun  sekarang baru pihak ROS meminta supaya diadakan pemilihan baharu. - Bernama