SHAH ALAM- Ketua Pemuda Umno Tebrau, Syahrin Jamaluddin berkata, untuk mengelak salah faham dan kekeliruan, hudud tidak boleh dilabel sebagai 'hudud Umno' atau 'hudud Pas'.

"Hudud itu luas pengertiannya, saya bersetuju dengan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat untuk melaksanakan hudud kerana ia menunjukkan ada cadangan ke arah positif.


"Malah, kerajaan juga amat optimis untuk melaksanakannya di mana sejak merdeka lagi kita cuba melaksanakan hukum Islam dengan menubuhkan mahkamah syariah, walaupun undang-undang Islam tidak mampu dilaksanakan sepenuhnya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Menurutnya, hudud dapat dilaksanakan sekiranya negara mempunyai kalangan ilmuwan yang benar-benar mahir mengendalikan sistem perundangan Islam yang sebenar. Tetapi dakwanya, sehingga hari ini negara masih tidak mempunyai pakar perundangan yang benar-benar berilmu untuk melaksanakan hudud.


Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Pengerang, Mohd Amin Hamidon berkata, beliau tidak dapat menerima cadangan yang dikemukakan Ayub kerana menyifatkannya tidak relevan untuk direalisasikan dalam masa terdekat.


"Sedangkan Pas yang memperjuangkan Islam masih tidak mampu untuk laksanakannya walaupun sudah lama mencanangkan hudud sebagai modal politik mereka," katanya.


Kata Mohd Amin lagi, ia memerlukan pakar dalam pengendalian perundangan Islam.


Beliau bagaimanapun menyarankan supaya Jabatan Agama Islam diperkasakan dan mengambil peranan melakukan kajian spesifik sekiranya benar-benar ingin melaksanakan hudud