• Himpunan Turun masih terkawal - Foto Sinar Harian Zulfadhli Zaki
1 / 1
KUALA LUMPUR –  Himpunan Turun mencemari sambutan ambang tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka, di sini, malam tadi apabila dua anggota polis cedera akibat rempuhan peserta himpunan di samping balingan botol ke arah pentas persembahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, sambutan ambang tahun baharu anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dicemari oleh kumpulan yang dikenali sebagai Rakyat Pilih Dataran Merdeka.

“Kehadiran peserta itu menyebabkan majlis sambutan ambang tahun baru terpaksa diberhentikan kerana kumpulan itu telah membuat kacau ganggu ketika majlis berlangsung,” katanya.

Beliau berkata,  peserta himpunan yang dianggarkan 5,000 hingga 6,000 orang itu telah berkumpul di beberapa lokasi antaranya di sebuah pusat membeli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman, Masjid Jamek dan Pasar Seni.

“Mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana telah berarak dari lokasi tersebut,” katanya pada sidang media, malam tadi..

Zainuddin berkata, pihaknya turut tidak menerima sebarang notis daripada penganjur himpun tersebut, ia turut menjadi kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Mengikut Akta Perhimpunan Aman, pihak penganjur perlu mengemukakan notis pemakluman 10 hari sebelum sesuatu perhimpunan diadakan,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian rempuhan itu, pihaknya telah membuat halangan terhadap peserta himpun itu.

“Kami tidak mahu peserta itu menganggu penonton yang sedang menyaksikan persembahan konsert di Dataran Merdeka, namun mereka  telah merempuh tiga halangan yang telah dibuat oleh kita.

“Saya difahamkan dua anggota polis cedera akibat rempuhan itu, kedua-dua anggota polis itu menerima rawatan di hospital berhampiran,” katanya.

Zainuddin berkata, pihak keselamatan yang melakukan rondaan di Kompleks Dayabumi turut menjumpai empat parang panjang dan tiga pisau rambo di kompleks berkenaan.

“Pasukan khas yang ditubuhkan akan menyiasat kesalahan yang dipercayai dilakukan oleh peserta himpun itu termasuk penemuan senjata di Kompleks Dayabumi,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut memuji anggota polis yang ditugaskan mengawal sambutan ambang 2014 kerana berjaya mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.