• Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
KAJANG - Kerajaan Negeri Selangor akan meminta Kerajaan Persekutuan melepaskan dokumen memorandum perjanjian persefahaman (MoU) ditandatanganinya baru-baru sebelum ia didedahkan kepada pengetahuan umum.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang enggan mengulas lanjut desakan beberapa pihak tentang kandungan MoU itu sambil berkata perjanjian itu milik bersama dan persetujuan perlu dicapai sebelum ia boleh didedahkan.

"Saya tidak mahu komen lanjut kerana ia maklumat yang dimiliki kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

"Kerajaan negeri ada hak kebebasan maklumat, kita akan minta kelulusan kerajaan Pusat untuk lepaskan dokumen tersebut dan esok saya akan berbincang dengan kerajaan Pusat tentang hal itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis beramah mesra bersama media di Pusat Media PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pagi tadi yang menggesa Abdul Khalid menjelaskan isi kandungan MoU tersebut secepat mungkin.

Tegasnya terdapat empat perkara yang boleh menimbulkan spekulasi terutama yang melibatkan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Mengulas lanjut, Abdul Khalid juga menafikan wujudnya tambahan RM2 bilion untuk pengambilalihan ekuiti pemegang konsesi sedia ada seperti mana yang ditimbul Rafizi.

"Saya fikir angka itu (RM2 bilion) berdasarkan andaian yang dibuat oleh beliau sendiri.

"Kita akan buat penerangan terbuka, dan angka itu tidak sama dengan angka yang kita buat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"MoU itu ditandatangani termeterai untuk mengelakkan operator air (Syabas) menaikkan kadar tarif air kepada pengguna," katanya lagi.