• Sekadar gambar hiasan.  
  • Sekadar gambar hiasan.
1 / 1
SHAH ALAM- Sikap ambil ringan dan kurangnya asas agama punca orang Islam tidak kisah untuk merokok walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan menjatuhkan hukumnya adalah haram.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Othman berkata, sikap itu sebenarnya membuktikan mereka sengaja membelakangkan agama dalam sesuatu perkara.

Beliau berkata demikian, mengulas kes coklat Cadbury yang mempunyai DNA babi sehingga mengejutkan semua pihak sehingga menimbulkan kemarahan, namun sikap itu tidak pula berlaku di kalangan perokok yang jelas hukum merokok adalah haram.

“Dalam budaya kita, kita hanya sensitif ikut keadaan sahaja. Tapi di negara kita pun hanya gazetkan sahaja merokok haram tapi penguatkuasaan tidak secara serius.

“Tapi ada satu pihak yang prihatin dengan memilih untuk tidak merokok kerana hukumnya haram,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, walaupun dalam al-Quran tidak mengkhususkan hukum merokok diharamkan, namun mengambil kira melakukan kebinasaan ke atas diri adalah haram, ia juga terpakai untuk merokok.

“Kalau pun ada pihak pertahankan ia makruh, namun jika dilakukan berterusan ia jadi haram. Seperti juga dadah, shisha yang sudah pun digazetkan haram.

“Peranan kerajaan perlu diperkuatkan jika mahu mengurangkan golongan perokok dari kalangan orang Islam supaya tidak terus melakukan perkara haram,” katanya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md Harun berkata, walaupun hukum merokok adalah haram, namun ia tidak boleh disamakan dengan insiden penemuan DNA babi dalam coklat Cadbury kerana ia perkara yang berbeza.

“Memang kita tahu merokok adalah haram, tapi isu coklat Cadbury yang membuatkan orang Islam marah kerana ia tertera logo halal.

“Apabila berlaku perkara ini, syarikat pengeluar coklat seolah-olah mempermainkan hukum, merokok adalah pilihannya sendiri untuk binasakan diri mereka,” katanya.

Terdahulu, pada April 2010 Profesor Universiti Sydney, Simon Chapman turut mendakwa darah babi mungkin menjadi salah satu bahan campuran di dalam puntung rokok.