• Ghazale (depan) ketika melawat tapak penggalian yang menghasilkan lubang yang semakin besar sehingga dikhuatiri boleh merosakkan persekitaran pulau berkenaan. Ghazale (depan) ketika melawat tapak penggalian yang menghasilkan lubang yang semakin besar sehingga dikhuatiri boleh merosakkan persekitaran pulau berkenaan.
1 / 1
MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka memberi tempoh tiga bulan kepada syarikat kontraktor dilantik untuk memberi bukti penemuan harta karun dipercayai peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka di Pulau Nangka, dekat sini.

Selepas 1 Ogos ini, tidak ada kompromi termasuk memberi lanjutan masa sekiranya syarikat terbabit, Smart Partnership International (M) Sdn Bhd masih gagal menemui sebarang artifak.

Kata dua itu diberi berikutan kerajaan negeri tidak mahu pulau bersejarah itu musnah akibat kerja-kerja pencarian sedangkan sehingga kini belum nampak penemuan meyakinkan.

Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, biarpun kontrak tamat 30 April lalu, namun kerajaan negeri memberi tempoh lanjutan selepas kajian secara teknologi moden dilakukan kontraktor membuktikan artifak wujud.

“Kalau tidak bertemu juga, saya ingat setakat itu saja. Kerana kalau diteruskan atau diberikan kepada lain, takut pulau ini berlaku kerosakan.

“Alam persekitaran dengan bumi cantik, hutan menghijau ini akan terhakis dengan masing-masing mengorek, menggali sana-sini atau menebang pokok akan rosak nanti,” katanya semasa lawatan di pulau berkenaan bersama Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, semalam.

Ghazale berkata, kelulusan diberikan sejak Julai 2012 kepada Smart Partnership itu berdasarkan hasil kajian teknologi moden dilakukan membuktikan wujud artifak di Pulau Nangka.

“Buktikan lima kotak itu kita jumpa, tak mahu duit kecil kecil (dua medal ditemui sebelum ini) atau manuskrip lama dan mahkota dikatakan. Ini satu persepsi masih belum ada bukti,” katanya.
Menurutnya, terpulang kerajaan negeri bagi memberi tempoh lanjutan kepada kontraktor itu selepas mendapati kos pengendalian misi pencarian itu kini mencecah lebih RM1 juta.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Smart Partnership, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata, pihaknya yakin memenuhi sasaran pencarian bagi tempoh tiga bulan yang diberikan.