• Gambar hiasan
1 / 1
PUTRAJAYA - Seramai 59,765 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan telah diusir ke negara asal mereka termasuk banduan asing yang telah tamat menjalani hukuman penjara dalam tempoh 21 Januari sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Mustafa Ibrahim.

Beliau berkata, warga Indonesia adalah yang tertinggi diusir iaitu 24,614 orang diikuti warga Bangladesh sebanyak 6,834 orang dan Filipina sebanyak 6,483 orang serta lain-lain warganegara.

“Warga asing yang melakukan jenayah di negara ini tertakluk di bawah bidang kuasa dan tindakan pihak polis.

“Setelah menjalani proses penghakiman dan selesai menjalani hukuman di penjara, pihak penjara akan menyerahkan banduan asing ini kepada imigresen untuk proses pengusiran pulang ke negara asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mustafa menjelaskan bahawa sebelum dihantar pulang,  imigresen akan mengeluarkan Perintah Tahan Usir (PTU) dan nama mereka akan disenaraihitamkan daripada dibenarkan masuk semula ke negara ini bagi satu tempoh masa tertentu atau seumur hidup.

Sehubungan itu, beliau berkata, imigresen menasihati warga asing supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah atau yang melanggar undang-undang negara ini dan mereka yang ingkar akan berhadapan dengan tindakan undang-undang termasuk diusir ke negara asal dan disenaraihitamkan dari memasuki negara ini semula. - Bernama