• Jamil Khir (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada Johan Qari dari Petronas, Hazrizal (dua kanan). Jamil Khir (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada Johan Qari dari Petronas, Hazrizal (dua kanan).
1 / 1
KOTA BHARU – Kerajaan Pusat mengamalkan sikap keterbukaan dalam isu pelaksanaan hukum Kanun Jenayah Syariah II yang dijangka dilaksanakan kerajaan Pas Kelantan, tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perlaksanaan tersebut terletak di atas bidang kuasa negeri masing-masing.

"Pentadbiran agama ini terletak kepada negeri masing-masing, dalam isu ini, terpulang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakannya.

“Apa yang penting, kerajaan negeri melaksanakannya mengikut prosedur yang ditetapkan,"katanya kepada media selepas merasmikan Majlis penutup Tilawah Al-Quran syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Terdahulu, kerajaan Kelantan melalui Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Abdullah menyatakan mesyuarat kali ketiga itu juga turut memutuskan keperluan untuk meminda Akta 355 atau Perkara 76 (A) yang memerlukan satu rang undang-undang persendirian dibawa ke parlimen, selain menyatakan kelangsungan penuh perlaksanaan itu juga bergantung pada cadangan jawatankuasa tersebut nanti.