• AirAsia AirAsia
1 / 1
GEORGETOWN - Sebuah pesawat AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) ke Langkawi terpaksa berpatah balik dipercayai mengalami masalah teknikal.

Pesawat AK6242 berlepas dari LTABL kira-kira jam 4.30 petang tadi sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) kira- kira jam 5.05 petang namun terpaksa berpatah semula.

Difahamkan kejadian itu, pesawat berkenaan berada di ruang udara laut perairan Kedah.

Juruterbangnya kemudian membuat pengumuman bahawa penerbangan itu terpaksa berpatah balik kerana mengalami masalah teknikal.

Sementara itu, jurucakap LTABL ketika dihubungi berkata, pesawat berkenaan selamat mendarat kira-kira jam 6.43 petang dan terlewat kira-kira 1 jam 30 minit daripada jadual asal.

Bagaimanapun, AirAsia ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu.