• PRK Permatang Pauh
 1 / 1 
PERMATANG PAUH - Empat calon disahkan menjadi calon PRK Permatang Pauh selepas diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya di Pusat Penamaan Calon PRK Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam di Berapit, hari ini.

Pertandingan empat penjuru itu melibatkan calon BN, Suhaimi Sabidi; calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; calon Parti Rakyat Malaysia, Azman Shah Othman dan wakil Bebas, Salleh Isahak.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
 
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon hari ini dan pengundian 7 Mei.

Pada PRU lepas, Anwar mengalahkan Dr Mazlan Ismail dari BN dengan majoriti 11,721 undi.  

Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi berdaftar terdiri daripada 71,252 pengundi biasa, 627 pengundi awal dan 11 pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 3 Mei di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan pengundian biasa pada 7 Mei di 25 buah sekolah di kawasan itu.

PRK Permatang Pauh adalah pilihan raya kecil ke-10 selepas pilihan raya umum ke-13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.
 
Sembilan pilihan raya kecil sebelum ini adalah PRK Dun) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK Dun Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK Dun Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK Dun Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK Dun Pengkalan Kubor, Kelantan (25 September 2014); PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015); dan PRK Parlimen Rompin (5 Mei 2015).