Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

PENDIRIAN MAHFUZ OMAR

'Saya terima apa jua ketentuan'

  • Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
DATUK Mahfuz Omar bukanlah nama asing dalam persada politik tanah air. Sikapnya yang lantang mengkritik dan membidas mana-mana pihak termasuk rakan pakatan, menyebabkan dirinya dilihat seolah-olah golongan progresif yang mahu menundukkan pro ulama dalam parti hingga kecundang dalam pemilihan parti baru-baru ini. Namun itulah keperibadian Ahli Parlimen Pokok Sena ini yang sentiasa happy go lucky, dan sentiasa mengukir senyuman biarpun dipandang sinis dalam parti sendiri. Setelah tidak lagi memegang jawatan utama di peringkat pusat mahupun negeri, beliau nekad mahu meneruskan perjuangan politiknya, biarpun sekadar bergelar Yang Dipertua Pas Kawasan Pokok Sena. Ikuti wawancara Mahfuz bersama wartawan Sinar Harian, Roslinda Hashim.

Datuk antara tiga pemimpin Pas dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini namun, ditawarkan menganggotai Jawatankuasa Pas Pusat bagi sesi 2015-2017. Adakah keputusan sudah dibuat berhubung tawaran itu?

Saya terima surat tawaran pelantikan itu petang Ahad, bukan seminggu lalu seperti diperkatakan. Setakat ini, saya belum buat apa-apa keputusan. Jawapan bertulis akan saya hantar kepada Presiden untuk maklumkan sama ada terima atau sebaliknya. Pas Pusat tidak menetapkan tempoh tertentu untuk memberikan keputusan, malah saya sendiri pun tiada jangka masa, dua minggu ini jadual program padat dengan pelbagai aktiviti, selepas itu baru sempat berfikir.

Ada kemungkinan Datuk sudah tawar hati untuk terima tawaran berikutan lantikan dibuat pada saat akhir dan dilihat seperti tangkap muat?. Tambahan pula kepimpinan baharu merupakan pasukan pro ulama, di mana kebanyakan rakan sehaluan Datuk tidak lagi bersama.

Saya tidak ada apa-apa tanggapan berhubung pelantikan itu, apakah tujuan atau niat mereka memilih saya. Saya hanya bersangka baik terhadap apa yang berlaku. Dalam pemilihan lalu sudah ada ketentuan dalam proses pemilihan atau pertandingan pasti ada kalah atau menang. Ini bukan kali pertama saya kalah.


Wujudkah rasa kecewa apabila seolah-olah berlaku pembersihan dalam pemilihan parti yang menyaksikan rakan-rakan progresif dalam Pas kecundang?

Bila keadaan begini, kekosongan (jawatan) yang ada tidak dapat tampung semua yang tewas pada pemilihan. Ini realiti yang pasti akan diperakui semua pihak. Lantikan yang dibuat itu ada hadnya atas kuasa Presiden. Ia tidak wajar dipersoalkan.

Rakan baik Datuk sendiri, Mohammad Sabu (Mat Sabu) jatuh merudum daripada jawatan timbalan presiden kini tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan. Adakah Datuk kecewa dengan situasi ini, kerana Datuk dan beliau antara yang berusaha menjalin hubungan baik dengan DAP.  

Saya sendiri sudah tidak ada perasaan. Saya ‘happy go lucky’ dan teruskan kehidupan macam biasa. Saya terima apa jua keadaan dan keputusan. Saya juga memaafkan sesiapa yang pernah melabel saya ‘barua DAP’ selain dikaitkan dengan kumpulan yang mahu jatuhkan Presiden. Saya tidak simpan dalam hati.


Berbeza dengan Mohamad Sabu yang nyata kecewa dengan apa yang berlaku, adakah Datuk ditawarkan menyertai parti baharu yang akan ditubuhkan oleh beliau?
Kami tidak pernah bincang bab ini.  Saya dengar mengenai penubuhan parti baharu pun ketika majlis pengumuman malam ceramah itu. Setakat ini pun, saya tak ada terima tawaran dari mana-mana pihak termasuk Mat Sabu sendiri untuk sertai parti baharu itu.

Selepas apa yang berlaku dalam pemilihan termasuk kemelut Pas-DAP, adakah wujud rasa kecewa dalam diri Datuk tentang nasib dan masa depan Pas?

Apa yang berlaku buatkan saya sedih, bukan kecewa. Saya akui kelemahan saya sebelum ini dalam uruskan konflik yang berlarutan memberi imej yang tidak baik dalam hubungan Pas-PR. Kemelut ini merugikan dari aspek sokongan rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan baharu untuk membaiki imej dan kekecewaan rakyat terhadap Pas yang beri harapan besar. Krisis PR memberi implikasi kepada ketiga-tiga parti (Pas, DAP, PKR), sebab itu berkali-kali saya sebut, sebelum isu ini memuncak, perlunya kepimpinan dari tiga parti berlapang dada dan berjiwa besar untuk duduk semeja di meja perundingan. 

Apabila ada parti isytihar PR sudah tidak wujud, satu pihak lagi kata masih wujud, menunjukkan masing-masing belum bersedia kembali kepada meja perundingan. Situasi ini amat malang dan beri kesan pada PRU akan datang. Wajar diatasi segera namun penyelesaiannya agak rumit. Satu pihak sama ada Pas atau DAP perlu mengalah atau berundur dengan menjadi parti mesra kerajaan PR. Sebagai contoh, kekalkan Kerajaan Selangor bawah PKR, pihak yang satu lagi berperanan sebagai pihak yang mesra kerajaan walau tidak ada dalam kerajaan itu. Jika kedua-dua pihak berterusan mengeluarkan kenyataan yang agak lantang, keadaan akan menjadi sukar.

Apakah yang perlu Pas lakukan segera supaya tidak terus terheret dengan kemelut?

Pas perlu bertindak segera, jaga sokongan pengundi teras. Usul Dewan Ulama Pas yang mahu memutuskan hubungan dengan DAP itu disertakan dengan sembilan alasan dari sudut syarak, yang dikaitkan dengan kepentingan hudud, maka sudah tentu Pas tidak boleh buat pusingan U atau tarik balik pendirian, kerana boleh menjejaskan pengundi teras Pas (Melayu Islam). Tindakan itu kelak boleh memberi gambaran Pas tunduk pada DAP. Begitu juga DAP, tidak boleh membuat pusingan U untuk menjaga kepentingan pengundi terasnya, supaya kredibiliti parti itu tidak akan dipersoalkan. Disebabkan itu, satu parti perlu mengalah untuk elak PR dituduh parti hipokrit.

Terbaharu, kemungkinan DAP akan wujudkan satu pakatan baharu?

Itulah antara kebimbangan saya. Jika DAP isytihar PR sudah tidak wujud, pakatan ini ambil parti baharu, sudah pasti Pas tidak akan bersama. Imej PR sedikit sebanyak terpalit implikasi negatif yang akan diterjemahkan dalam PRU. Kepimpinan tertinggi parti perlu pulihkan imej parti masing-masing dan PR. Mereka juga perlu pulihkan keyakinan pengundi bukan Islam kepada Pas dan PR. Jika berlaku perpecahan dalam PR, yang tidak dapat dibendung lagi, hasilnya kelak, berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU14. Ia tidak beri keuntungan dalam aspek mahu menumbangkan kerajaan BN.

Perjalanan politik Datuk sekejap di atas sekejap di bawah, adakah kekecewaan itu boleh menjurus kepada kebarangkalian untuk Datuk tinggalkan Pas?

Saya tidak akan tinggalkan Pas. Menjadi tanggungjawab saya untuk laksana tugas sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Pokok Sena dan Ahli Parlimen. Saya akan pastikan prestasi itu dapat dipertahankan hingga PRU14 kerana parlimen ini satu-satunya yang dimenangi Pas di Kedah. Itu tanggungjawab besar untuk saya kekalkan kedudukan selain membantu tambah kerusi Pas di Kedah.

Bermakna Datuk tidak bersedia bergelar ahli parlimen bebas?

Tiada dalam pemikiran saya ketika ini, walaupun ditawar jawatan atau tiada jawatan dalam Pas, saya tetap berkhidmat untuk kawasan.

Ura-ura mendakwa ada ahli dan pemimpin Pas Kedah akan keluar parti?

Setakat ini, saya tiada maklumat tentang ini, tidak pastilah jika ia benar-benar menjadi kejutan kelak. Masing-masing ada kefahaman dan pemikiran berbeza termasuk soal parti. Sudah pasti mereka perlu fikirkan secara bijaksana termasuk kesan pada PRU14.

Reaksi Datuk terhadap tindakan Datuk Amiruddin Hamzah menolak lantikan sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah. ?

Saya juga terkejut. Kita perlu hormati pendirian beliau, walaupun sukar untuk Pas Kedah. Kemungkinan beliau mahu beri laluan kepada pemimpin agamawan untuk terajui Kedah yang sinonim dengan imej sekolah pondok.
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.