Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, ini kerana jenayah tersebut merupakan satu kesalahan antarabangsa.

“Sekiranya negara seperti Switzerland, Britain dan Amerika contohnya, mendapati Najib bersalah melakukan pengubahan wang haram, mereka berhak menyaman beliau atau meminta Interpol menangkapnya sekiranya perdana menteri pergi ke luar negara,” Katanya dalam satu  video yang dimuat naik blog Din Turtle.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesukaran Najib untuk melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.

Menurut Mahathir, oleh kerana  Najib tidak akan melepaskan jawatan, satu jalan yang mungkin berlaku adalah menerusi pendakwaan di luar Malaysia.

“Itu mungkin (berlaku). Bukan akan berlaku, tapi mungkin, dalam keadaan dunia sekarang,” katanya.

Katanya, sekarang undang-undang dunia berbeza mengikut kesalahan sama ada kaitan dalam negara mahupun luar negara.

“Kalau jenayah itu dilakukan di sini (di Malaysia), maka undang-undang negara ini sahaja boleh dikenakan terhadap pesalah.

“Manakala jika jenayah itu ada sedikit kaitan dengan negara luar, negara itu boleh kenakan tindakan terhadap pesalah kerana mereka mempunyai kuasa,” katanya.

Mengambil contoh arahan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menangkap Presiden Sudan, Umar Basyir atas tuduhan kejahatan perang, Mahathir berkata, beliau telah didapati bersalah dan akan ditangkap jika pergi ke mana-mana negara yang bersetuju dengan kesalahannya.

Mengulangi perkataan mungkin berlaku tangkapan, Mahathir berkata, sekiranya Najib didapati bersalah, beliau perlu berada dalam negara dan tidak boleh keluar.

“Jadi, dia kena duduk sini (dalam negara), tak boleh keluar. Macam mana dia tarik pasport orang, tak bagi keluar, dia pun tak boleh keluar juga,” katanya.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat hari ini dilaporkan telah memulakan satu siasatan berhubung dakwaan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan hutang yang ditanggung 1MDB.

Menurut harian kewangan The Wall Street Journal (WSJ) pagi ini, satu sumber melaporkan perkembangan tersebut, di tengah-tengah penahanan bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.