Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan & Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek berpendapat, tindakan Muhyiddin itu mempunyai motif tertentu kerana beliau sedar teguran sinis yang dibuat sejak Mei lalu hanya memporak-perandakan parti.

“Dulu beliau kata, walaupun bukan Timbalan Perdana Menteri, tapi dia pejuang dalam Umno, kalau dia berjuang dalam satu platform, dia kena menjaga maruah parti itu walau apa pun berlaku, secara dalaman, pertelingkahan dia, perselisihan faham dia, antara pemimpin dalam parti.

“Ini tak perlu diuar-uarkan ke luar, ini urusan dalaman rumah tangga, tapi oleh sebab beliau dah bawa benda ini ke luar, menunjukkan beliau masih lagi tidak aman dan tenteram dengan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melucutkan jawatannya dalam Kabinet,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin sanggup hilang jawatan demi Umno]

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin dalam Bicara Minda Sinar Harian pada Sabtu lalu yang mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu individu yang bertanggungjawab memberi laluan kepada Najib untuk bertanding sebagai Presiden Umno dalam pemilihan parti itu pada 2009 lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Halim juga berkata, Muhyiddin tidak sewajarnya mempunyai sikap bertentangan dengan keputusan parti termasuk melakukan ‘pemberontakan’ terhadap Presiden Umno.

“Nampaknya beliau seolah-olah macam meronta, meledak dan memberontak menentang Datuk Seri Najib, sebagai ketua parti dan ini tidak sepatutnya berlaku. Dalam sejarah Umno, tiada seorang pun boleh bersuara sedemikian melainkan Presiden.

“Semua orang kena bercakap sebagai satu suara, walaupun beliau Timbalan Presiden Umno, tapi beliau bercakap bercanggah dengan pendirian dan kepimpinan parti. Sekarang beliau telah memporak-perandakan parti, jadi mesej yang diberi kepada ahli parti sudah kelam-kabut sekarang ini,” ujarnya.

Abdul Halim berkata lagi, Muhyiddin merupakan satu-satunya pemimpin tertinggi Umno bukan sahaja tidak menyokong bahkan menentang kepimpinan Najib dalam parti Melayu itu.

“Kita lihat beberapa bulan lepas, semua pengerusi perhubungan Umno negeri menyokong kepimpinan Najib. Tiada seorang pun tak sokong, jadi sekarang ini Muhyiddin nampaknya satu-satunya yang menentang kepimpinan Najib.

“Kalau beliau nak tegur Najib ini tak buat kerja, beliau boleh berbuat demikian secara dalaman, bukan pergi ke platform di luar dan membuat komentar-komentar negatif terhadap kepimpinan Najib kerana beliau ada akses kepada Datuk Seri Najib,” katanya lagi.